COVID-19: 1,884 Kes Baharu Direkodkan Jumlah Tertinggi Di Malaysia

Negeri Selangor merekodkan 1,203 jangkitan sementara Sabah pula 289 kes baharu, kata Dr Noor Hisham.

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan kes jumlah harian tertinggi COVID-19 dengan pertambahan sebanyak 1,884 kes dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,882 merupakan penularan dalam negara, selebihnya kes import.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 13,842 kes manakala daripada jumlah kes baharu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Dalam pada itu, Selangor mencatat negeri tertinggi pertambahan kes harian COVID-19 iaitu sebanyak 1,203 kes diikuti Sabah (289 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (196 kes).

Menurut Dr Noor Hisham, Malaysia juga turut merekodkan pertambahan sebanyak dua kes kematian baharu di negeri Sabah.

Setakat ini, 115 kes positif COVID-19 kini sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 48 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh akibat COVID-19 di Malaysia yang direkodkan ialah sebanyak 883 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat COVID-19 sebanyak 42,480 kes.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *