Lelaki Ditikam Gara-Gara Tegur Bunyi Radio

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pembantu perkapalan cedera ditikam dengan pisau, hanya kerana menegur seorang lelaki yang memasang radio dalam kejadian di kawasan Pelabuhan Sepanggar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa yang 27 tahun, di belakang bahu kiri akibat tikaman suspek berusia 20-an terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan mendapati ketika kejadian mangsa sedang lepak bersama lima rakannya di kawasan berkenaan.

Katanya, seorang rakan mangsa kemudian mempelawa suspek yang ketika itu sedang berada di atas sebuah kapal untuk lepak bersama.

“Suspek kemudian datang dengan membawa radio yang dipasang dengan lagu. Mangsa menegur suspek supaya tidak memainkan radio itu kerana bunyi bising.

“Suspek kemudian naik semula ke atas kapal dan tidak lama selepas itu kembali semula dan terus menikam mangsa menggunakan pisau di bahagian belakang bahu sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa yang cedera terus dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKKS) Sabah oleh rakannya, manakala suspek terus melarikan diri.

“Mangsa yang cedera pada belakang bahu kiri akibat ditikam menggunakan pisau menerima enam jahitan. Usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *