660 Kes Positif Covid-19, Dua Kematian Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat kepada 660 kes dan dua lagi kematian di negeri ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua daripada empat kes kematian yang dilaporkan hari ini adalah di Sabah. Kematian di Sabah masing-masing satu kes di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

Sementara, dua lagi kematian dilaporkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak dan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang, Johor.

Kesemua kematian lagi melibatkan pesakit berusia antara 29 hingga 62 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Dengan itu, kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 326 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 183 kes.

Secara keseluruhan sebanyak empat kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu kluster Kapas BJ, Selangor dengan 76 kes positif, kluster Prestij, Kuala Lumpur (20), kluster Bah Bercham, Perak (5) dan kluster Kiambang, Johor (9).

Hari ini, sebanyak 1,290 kes positif baharu dilaporkan di seluruh negara, 1,285 kes adalah jangkitan tempatan manakala, lima kes import.

Sementara, 15 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan dan bilangan kumulatif kes Labuan adalah sebanyak 1,214 kes.

Bilangan kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 878 kes, dengan bilangan kumulatif kes pulih adalah sebanyak 38,132 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 51,680 kes. Sebanyak 13,222 kes aktif dengan 110 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 37 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1131