Covid-19: 387 Kes Positif, 3 Kluster Baharu & 2 Kematian Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 387 kes positif, dengan tiga lagi kluster baharu Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster itu adalah kluster Sabaru, kluster Tomher dan kluster Garden dengan 85 kes positif baharu.

Manakala, dua daripada empat kes kematian dilaporkan hari ini adalah di Sabah. Kedua-dua kes itu dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan. Sementara, dua lagi kematian dilaporkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Kesemua kematian lagi melibatkan pesakit berusia antara 59 hingga 80 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Dengan itu, kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 322 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 181 kes.

Secara keseluruhan sebanyak lapan kluster baharu dilaporkan hari ini termasuk tiga di Sabah. Kluster lain adalah kluster Putra-18 di Selangor dan Kuala Lumpur dengan tiga kes positif, kluster Besi Demak, Sarawak (3), kluster Murni, Kuala Lumpur (4), kluster Seri Pasir, Pulau Pinang (4), kluster Parit Kassan (3).

Hari ini, sebanyak 660 kes positif baharu dilaporkan di seluruh negara, 656 kes adalah jangkitan tempatan manakala, empat kes import.

Sementara, 13 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan dan bilangan kumulatif kes Labuan adalah sebanyak 1,199 kes.

Bilangan kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 630 kes, dengan bilangan kumulatif kes pulih adalah sebanyak 37,254 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 50,390 kes.

Sebanyak 12,814 kes aktif dengan 103 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 41 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

908