ADUN Bugaya Selamat Dikebumikan Di Semporna

SEMPORNA: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Bugaya di sini, pada 4.45 pagi ini.

Jenazah tiba di Semporna dari Kota Kinabalu pada jam 3.30 pagi melalui jalan darat.

Terdahulu jenazah dimandikan dan disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada 4 petang, sebelum dibawa ke Semporna.

Upacara pengebumian itu dijalankan dengan kehadiran sebilangan ahli keluarga.

Dalam pada itu, anak arwah, Fara Deeba Sabardin berkata, ibunya menghidap pelbagai komplikasi penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, tumor dan baru-baru ini, menjalani pembedahan lutut, selain masalah buah pinggang.

“Tetapi sejak tiga hari lalu ibu mengadu sakit dan kami beranggapan, ibu sakit tulang dan kami membawanya ke Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.

“Rupanya ibu sakit akibat buah pinggang dan hari ke hari kesihatannya semakin merosot dan menggunakan mesin ventilator, pada 6 pagi semalam doktor memanggil dan memberi izin untuk kami berjumpa serta mengucup ibu,” katanya sambil menambah pada jam 1.36 tengah hari mesin ventilator itu dihentikan.

Bagi Fara Deeba, ibunya itu seorang yang kuat semangat dan positif kesihatannya boleh beransur pulih bagi membolehkannya mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Bugaya, sekali gus berbakti kepada rakyat.

“Ibu selalu tidak sihat, kadang-kadang di rumah ibu akan guna kerusi roda tetapi di luar, ibu tidak pernah mahu menunjukkan dirinya sedang sakit malah sebaliknya berlaku,” katanya lagi. 

Manis Muka, 65, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bugaya pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 26 September lepas, meninggal dunia pada 1.36 tengah hari, semalam, di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.

Bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985, Manis Muka pernah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Wanita UMNO Bahagian Semporna dan selepas itu Ketua Wanita Parti Warisan Sabah (Warisan) Semporna.

Manis Muka meninggalkan suami, Datuk Sabardin Omrah, 76, serta 13 anak iaitu tujuh lelaki dan enam perempuan berumur antara 49 dan 26 tahun.– BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *