Kluster Avenue Sumbang Peningkatan Kes Covid-19 Di Penampang

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster Covid-19 membabitkan pekerja tapak pembinaan dikesan di Sabah, iaitu kluster Avenue yang mencatatkan 110 kes positif.

Kluster Avenue antara satu daripada dua kluster baharu yang dilaporkan di Sabah hari ini. Satu kluster lagi adalah kluster Kejora di Kota Kinabalu yang mencatatkan sembilan kes positif.

Hari ini, 499 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan empat lagi kes kematian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, daripada empat kematian hari ini, dua kes kematian di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Sandakan.

Untuk hari ini, dua daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Sandakan dengan 165 kes positif dan Penampang dengan 115 kes positif.

Manakala, Kota Kinabalu mencatatkan 62 kes positif, Tawau (42), Lahad Datu (42), Semporna (16), Beluran (8), Tuaran (7) dan Papar (7). Manakala dua kes dilaporkan di Putatan, Keningau dan Beaufort.

Beliau berkata, daripada 499 kes positif hari ini, sebanyak 122 kes dari kluster Penjara Sandakan dan 106 kes dari kluster Avenue, Penampang. Keputusan ujian saringan ini baru diperoleh dari makmal swasta yang dilantik.

Dengan tambahan empat kematian terbaru, keseluruhan kes kematian di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 179 kes. Sementara, sebanyak 526 kes pulih dilaporkan.

Setakat ini, sebanyak 23,882 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 1,997 kes aktif yang sedang menerima rawatan dimana, 610 orang dirawat di hospital dan 1,997 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 69 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 17 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil di hospital Covid-19 menurun kepada 990 katil berikutan penutupan Hospital Kudat yang mempunyai 20 katil.

Bilangan katil di PKRC seluruh Sabah juga berkurang kepada 5,368 katil susulan pengurangan 250 katil di Penjara Sandakan. Jumlah keseluruhan katil Covid-19 ketika ini adalah 6,358 katil dengan kadar penggunaan sebanyak 31.41 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *