Apa Istimewa Politik Sabah Jika ‘Senada’ Dengan Persekutuan, Soal Adun Pembangkang

Adun Kadamaian Ewon Benedick mempersoalkan keistimewaan Sabah sekiranya ia ‘senada’ dengan politik di peringkat persekutuan.

KOTA KINABALU: Adun Kadamaian mewakili UPKO, Ewon Benedick mempersoalkan sama ada Sabah benar-benar mempunyai keistimewaan sekiranya politik di negeri itu ‘senada’ dengan persekutuan.

Bercakap pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, beliau berkata, Belanjawan 2021 yang dibentang sebelum ini adalah gambaran kepada keseriusan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam melaksanakan komitmen yang dinyatakan dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

”Ya, ada perkara baru dalam belanjawan tersebut, tetapi banyak yang dikurangkan, termasuklah peruntukan pembangunan luar bandar Sabah.

“Justeru rakyat kini bertanya, betulkah ada keistimewaan jika politik negeri dan persekutuan senada sedangkan dalam belanjawan berkenaan tidak menggambarkan keistimewaan itu.

“Dalam siri lawatan beliau ke banyak tempat di Sabah semasa kempen pilihan raya negeri baru-baru ini perdana menteri menyatakan hubungan politik senada di antara kerajaan negeri dengan persekutuan akan memudahkan urusan pembangunan di Sabah,” katanya.

”Rakyat bosan mendengar dan melihat video yang diulang-ulang memaparkan retorik pemimpin dari ‘Malaya’.

“Ada yang cakap akan tunai 100 hari jika balik memerintah, tetapi sekarang lebih 6 bulan. Kita juga masih ternanti-nanti apakah yang telah dicapai oleh portfolio hal ehwal Sabah dan Sarawak walaupun ada kenyataan yang menyebut boleh melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh 6 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan atas ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.

Ewon turut mencadangkan diwujudkan jawatan khas di DUN Sabah bagi membantu kerajaan menuntut semula hak negeri berkenaan.

”Kalau ada keputusan di dewan ini yang diputuskan oleh ahli sebelum ini berkaitan hak kita dalam MA63 atau perlembagaan persekutuan yang dirasakan boleh diputuskan semula, maka kita bentangkan semula dalam dewan ini.

”Kalau ada enakmen yang perlu diwartakan untuk kita dapatkan hak kita dalam Perjanjian Malaysia, maka kita bentang, bahas dan luluskan di dewan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Hajiji Noor dalam ucapan penggulungannya berkata, kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meneruskan usaha memperjuangkan hak Sabah.

”Banyak isu yang dibangkitkan oleh (Adun) Kadamaian. Mana-mana yang perlu kita ambil perhatin mengenai hal-ehwal atau hak Sabah yang termaktub dalam perlembagaan kita akan terus perjuangkan. Saya rasa rakyat juga akan menyokong kita.

”Kerajaan negeri juga telah menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai oleh Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) untuk memperincikan perkara ini dengan kerajaan persekutuan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *