Adun WARISAN Tegur Bekas Sekutu Berhubung Cukai Jualan Petroleum

Shafie Apdal (kiri) tidak bimbang bahawa beliau akan menyinggung perasaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam isu cukai petroleum, kata bekas pembantu menteri kewangan negeri itu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Tiada asas untuk mengdakwa bahawa bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal tidak berusaha mendapatkan cukai jualan ke atas produk petroleum sebanyak 5% kerana beliau bimbang akan menyinggung perasaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Adun Merotai mewakili Warisan, Sarifuddin Hata mempertahankan presiden partinya itu susulan kenyataan bekas pembantu menteri kewangan Sabah Kenny Chua berhubung isu itu.

Semalam, Chua bersetuju dengan dakwaan Adun Tulid dari STAR Flovia Ng, yang berkata, Shafie enggan memperjuangkan perkara itu sehingga selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun ini.

Sarifuddin Hata.

Bagaimanapun Sarifuddin, yang juga pembantu menteri kewangan negeri ke-2 dalam Kabinet Shafie, menyelar bekas sekutunya itu dengan berkata, kurang perbincangan mengenainya adalah disebabkan oleh runding berterusan mengenai Perjanjian Malaysia (MA63).

“Walaupun rang undang-undang untuk mengenakan cukai jualan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 2 Dis, 2018, negeri tidak mengenakan cukai ke atas syarikat minyak dan gas serta merta kerana terdapat jawatankuasa khas Kabinet berhubung MA63 pada masa itu.

“Pada masa itu Dr Mahathir sendiri mempengerusikan jawatankuasa itu dan kita tahu bahawa 17 isu (daripada 21) dipersetujui, manakala beberapa perkara (4) masih dalam perbincangan,” katanya kepada FMT.

“Jadi, bukan Shafie tidak mahu mengenakan cukai jualan seawal 2019 selepas undang-undang itu diluluskan, tetapi kerana kita berfikir sekiranya jawatankuasa MA63 bersetuju memberikan kita royalti 20%, jadi tidak perlulah dikenakan cukai 5% itu.

Beliau berkata, terhentinya perbincangan mengenai MAS63 selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Putrajaya menyebabkan Shafie tiada pilihan lain.

“Pada masa itu kita berpendapat bahawa sudah tiada jalan keluar daripada jawatankuasa itu, maka dengan itu kita serta-merta kenakan cukai jualan 5% pada 1 April.

“Shafie tidak pernah dijemput (ke jawatankuasa MA63) dan (PN) tidak pernah menyebut akan meneruskan perbincangan.

“Jadi Shafie berpendapat kerajaan PN tidak berminat untuk meneruskan rundingan yang telah dibuat oleh pentadbiran PH.

“Oleh sebab itu Shafie mengarahkan Kementerian Kewangan Negeri menulis surat kepada semua syarikat minyak dan gas di Sabah supaya membuat bayaran 5%,” katanya.

Beliau membidas Chua kerana tidak bersikap adil dan terbuka ketika membuat komen berhubung isu itu, yang menurutnya sepatutnya dimaklumi oleh Chua.

“Sebagai bekas pembantu menteri kewangan, saya duduk di sebelah beliau dalam mesyuarat pasca Kabinet dan beliau tahu kenapa kita tidak kenakan cukai itu serta-merta.

“Tidak perlu manipulasi (keadaan) untuk kelirukan rakyat,” katanya sekali gus meminta Chua merujuk kembali fail persidangan DUN pada 2 Dis, 2018. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *