COVID-19: Wajib Mohon Kelulusan Untuk Hantar Bantuan Ke Sabah

Pendakwah terkenal, Ebit Lew menghantar 10 tan bantuan keperluan asas ke Sabah pada 6 November Lalu.

KOTA KINABALU: Semua pihak yang ingin menghantar bantuan COVID-19 ke Sabah diwajibkan untuk memohon kelulusan daripada Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata peraturan itu ditetapkan sebagai prosedur operasi standard (SOP) yang diselaraskan kerajaan negeri dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran).

“Bagi penyumbang di Sabah, mereka hendaklah memaklumkan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) sekurang-kurangnya tiga hari sebelum penyampaian sumbangan atau bantuan.

“Bagi penyumbang luar Sabah, mereka perlu memaklumkan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum penyampaian sumbangan atau bantuan,” katanya dalam kenyataan media berkaitan COVID-19 Sabah, malam ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak baik badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang persendirian.

Mengenai bantuan bakul makanan diagihkan kerajaan negeri, Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah, berkata sehingga hari ini 160,962 bakul makanan sudah diagihkan kepada penduduk terjejas seluruh negeri.

Dalam pada itu, beliau daerah Semporna, Kota Belud dan Ranau mencatat kadar pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) rendah berbanding daerah lain, manakala paling tinggi ialah Kinabatangan dan Sipitang dengan tahap pematuhan 99 peratus.

Mengenai penguatkuasaan pula, katanya, sebanyak 67 sekatan jalan raya dilaksanakan hari ini membabitkan pemeriksaan 53,162 kenderaan.

“Daripada jumlah itu, 119 kenderaan diarah berpatah balik, manakala 30 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. Polis turut melaksanakan 69 hebahan melalui kereta peronda,” katanya.

Tambahnya, hebahan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan SOP turut digiatkan Jabatan Penerangan menerusi aktiviti ‘Info On Wheels’ membabitkan 86 lokasi di 15 daerah.

Hebahan dibuat dalam empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, selain Mandarin, bahasa Kadazan dan Bajau. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *