Selepas hampir 12 tahun berkhidmat sebagai pembangun sistem di Johor Bahru, Anak jati Tawau, Sabah, Patang Saharing memutuskan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung halamannya.
Langkah drastik tersebut diambil Patang yang pada masa itu berusia 32 tahun adalah atas dasar ingin berada dekat dengan isterinya, selepas mendirikan rumah tangga bersama Asmah Mansur.
Sekembalinya ke Tawau pada tahun 2013 itu, Patang seakan hilang arah kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap atau sebarang perancangan memajukan diri dan menjana pendapatan
Hampir tiga bulan juga Patang ‘goyang kaki’ di rumah sebelum mendapat idea membuka sebuah klinik pergigian di bandar tersebut.
Klinik itu dibuka hasil kerjasama dengan isterinya yang juga seorang doktor gigi dengan bermodalkan duit simpanan sendiri berjumlah hampir RM100,000 bagi menyewa kedai dan membeli peralatan.
Selepas beberapa bulan beroperasi, Patang mendapat idea untuk mengubah suai klinik gigi miliknya supaya memberi suasana tenang dan selesa kepada para pelanggan yang mendapatkan rawatan.
“Dalam usaha menjadikan perkhidmatan pergigian kami berbeza daripada kelaziman klinik gigi, saya mendapat idea mengubah suai klinik menjadi spa pergigian. Spa ini dipercayai menjadi yang pertama di negara ini dan Asia Tenggara yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu kepada para pelanggan.
“Malangnya, saya tidak ada modal untuk mengembangkan perniagaan bagi membeli peralatan tambahan atau menambah jumlah doktor gigi bagi merealisasikan hasrat tersebut pada masa itu,” katanya ketika dihubungi K2.
Berkat menjadi ahli Persatuan Usahawan Bumiputera Tawau pada awal tahun 2014, Patang mendapat tahu idea perniagaannya itu boleh dipertandingkan bagi mendapatkan geran bantuan daripada pihak kerajaan.
Patang cuba mengetengahkan idea spa pergigiannya dengan menyertai Pitch Borneo anjuran kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2014 dan sekadar layak ke peringkat akhir.
Meskipun begitu, bapa kepada dua cahaya mata itu tidak mudah berputus asa dan memohon untuk menyertai program lebih besar yang dikenali sebagai Superb anjuran Teraju.
Teraju atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Jabatan Perdana Menteri sebagai unit strategik yang berperanan meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.
“Alhamdulillah, pada program itu saya terpilih sebagai salah seorang daripada 99 peserta teratas daripada 4,000 penyertaan dari seluruh negara.
“Pada tahun 2015, saya telah diumumkan sebagai antara pemenang program berkenaan dengan memperoleh geran berjumlah RM500,000. Ia hasil daripada idea spa pergigian saya yang unik,” katanya.
Hasil daripada geran tersebut, Patang memanfaatkannya dengan berpindah ke premis lebih besar di Pusat Komersial Taipan, Tawau serta menambah lagi jumlah doktor gigi kepada lima orang.
Pada masa sama, dia turut membeli beberapa peralatan serta kelengkapan baharu untuk rawatan dan kosmetik pergigian.
“Program Superb bukan sahaja membantu saya dari aspek kewangan, malah memberikan pengalaman bermakna dengan memperkenalkan saya kepada ramai usahawan inovatif, jurulatih dan mentor yang memberi inspirasi,” kata lelaki yang kini berusia 39 tahun itu.
Memulakan spa pergigian tersebut sejak tahun 2015, kini, perniagaannya itu terus berkembang.
Bercerita lanjut, tujuan sebenar dia membuka klinik gigi berkonsep spa adalah untuk menggalakkan budaya penjagaan gigi dan menghapuskan stigma kegerunan pesakit apabila mendapatkan perkhidmatan di klinik gigi. Jelasnya, ketakutan sering timbul dalam kalangan pesakit kerana suasana di kebanyakan klinik gigi sama seperti hospital.
“Apabila pesakit lebih tenang, lebih senang untuk doktor merawat. Pesakit juga berasa lebih selesa dan tidak lagi takut menjalani rawatan pergigian,” katanya.
Inovasi Patang itu telah menjadikan klinik gigi seperti spa yang dilengkapi kerusi-kerusi urut dan alunan muzik spa dengan aliran air pancuran. Klinik pergigian ini bukan sahaja menawarkan rawatan masalah gigi tetapi juga pelbagai perkhidmatan kecantikan gigi, sesuai dengan spa yang sering dikaitkan dengan kecantikan.
Dinding di bilik rawatan juga dihiasi lukisan-lukisan yang menenangkan seperti pantai dan air terjun.
Hasil usaha dan inovasi Patang itu juga telah melayakkannya mendapat anugerah Ikon Belia Negeri Sabah Tahun 2016 (Kategori Belia Kreatif dan Inovasi) daripada Kementerian Belia dan Sukan Sabah.
Idea klinik spa yang diusahakan Patang turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninggalkan ciapan di laman Twitter yang memuji usaha inovasi Patang itu.
Kini Patang juga boleh berbangga apabila klinik pergigian berkonsep spa diusahakannya telah mendapat sambutan hebat daripada orang ramai dengan bilangan pesakit kian bertambah dari hari ke hari.
Menariknya, Klinik Pergigian Asmah bukan sahaja menjadi pilihan penduduk di sekitar Tawau atau Sabah, malah para pesakit juga datang dari Sarawak, Brunei, Indonesia dan Filipina khususnya sebelum pandemik Covid-19 melanda.
“Ketika ini, hanya ada lapan klinik gigi di Tawau termasuk klinik gigi kerajaan yang memberi perkhidmatan kepada lebih 400,000 penduduk. Jumlah ini dianggap masih rendah berbanding nisbah penduduk di kawasan ini.
“Bahkan, kami pun tidak dapat memenuhi keperluan pesakit yang kian bertambah,” ujarnya.
Disebabkan pada masa ini negara masih berdepan pandemik Covid-19, Patang terpaksa mencari alternatif lain dengan berusaha untuk bekerjasama dengan majikan-majikan yang menggaji pekerja asing di Sabah.
Terangnya, menerusi kerjasama itu, dia berharap dapat memberi perkhidmatan pergigian secara berkala kepada para pekerja asing yang banyak bekerja dalam sektor perladangan di negeri tersebut.
“Menerusi kerjasama ini, klinik kami dapat memberi perkhidmatan kepada para pekerja ini dari semasa ke semasa seperti yang dilakukan oleh klinik kerajaan kepada para pelajar sekolah. Cara ini pastinya lebih mudah kerana doktor kami yang akan masuk ke dalam ladang untuk memberikan rawatan kepada pekerja,” katanya.
Memandangkan perkhidmatan ditawarkan klinik pergigian berkonsep spa masih asing di negara ini, maka Patang sering menerima undangan ke majlis perkongsian ilmu dengan usahawan-usahawan baharu yang ingin menjalankan perniagaan serupa.
Selain itu, dia banyak menerima kunjungan dan lawatan daripada pelbagai pihak sama ada persendirian atau syarikat termasuk dari Semenanjung yang mahu melihat sendiri keunikan modul perniagaannya.
“Menerusi perkongsian ini, semakin banyak spa pergigian telah dibuka di negara ini.
“Saya juga ada membantu seorang bekas doktor gigi yang pernah bekerja dengan saya untuk membuka klinik spa pergigian sendiri. Saya percaya semakin banyak kita kongsi ilmu, kian bertambah rezeki kita,” ujarnya.
Mengulas rancangan untuk memperluaskan cawangan kliniknya, Patang memaklumkan, dia tidak mempunyai sebarang hasrat untuk berbuat demikian ketika ini.
Terangnya, dia berhasrat untuk menumpukan perhatian penuh kepada pasaran di Tawau dengan mempelbagaikan lagi perkhidmatan pergigian.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost
SumbeR: Kosmo Online