Covid-19: Nabawan Kembali Zon Hijau

KOTA KINABALU: Daerah Nabawan kembali menjadi zon hijau apabila tiada lagi kes aktif Covid-19 dicatatkan di daerah tersebut.

Nabawan menjadi satu-satunya daerah di Sabah yang tidak mencatatkan kes aktif Covid-19 setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, untuk hari ini, sebanyak 259 kes dilaporkan di 13 daerah di Sabah.

Daerah Kota Kinabalu masih berada dikedudukan teratas dengan 73 kes positif, diikuti dengan Lahad Datu (34), Sandakan (29), Tuaran (27), Tawau (24), Kudat (19), Putatan (17), Keningau (14) dan Penampang (14).

Sementara Papar mencatatkan tiga kes, Kota Belud (2), Sipitang (2) dan Kuala Penyu (1).

Hari ini, Ranau bertukar dari zon jingga kepada zon kuning iaitu kawasan yang mencatatkan kes kurang daripada 20 kes.

Tiga kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster Karamunting, Sandakan dengan 21 kes positif, kluster Saga, Kota Kinabalu dengan sembilan kes positif dan kluster Haven, Lahad Datu dengan 11 kes positif.

Manakala, sebanyak dua kes kematian baharu dilaporkan hari ini iaitu di Tuaran dan di Sandakan. Dengan itu, keseluruhan kes kematian di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 164 kes.

Sebanyak 553 kes pulih dilaporkan di Sabah hari ini.

Setakat ini, sebanyak 21,448 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 2,935 kes aktif yang sedang menerima rawatan dimana, 739 orang dirawat di hospital dan 2,196 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 69 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 19 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil di hospital dan PKRC seluruh Sabah ketika ini adalah sebanyak 9,101 katil, iaitu 1,010 di hospital dan 8,091 katil di PKRC. Kadar penggunaan katil adalah 32.25 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1886