Polis Kompaun 13 Individu Main Futsal, Lebih Dua Orang Dalam Kenderaan

Sepuluh remaja dikompaun RM1,000 seorang.

LABUAN: Seramai 13 individu tempatan dikompaun pada dalam dua kejadian berasingan semalam. 

Ketua Polis Daerah WP Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata kes pertama dikenakan ke atas tiga individu lelaki tempatan kerana didapati berkenderaan lebih dua orang dalam sekatan jalan raya di Jalan Tun Mustapha kira-kira jam 9.30 pagi.

“Manakala dalam kes kedua 10 remaja lelaki dikompaun kerana bermain futsal  di gelanggang perumahan LDA Kg Sungai Bedaun kira-kira 8.00 malam,” katanya. 

Farid menjelaskan semua 13 individu yang dikompaun berusia dalam lingkungan umur 17 hingga 32 tahun.

Sementara tiga individu terawal yang dikompaun didapati telah melanggar SOP PKPB iaitu menaiki kenderaan melebihi dua orang yang dibenarkan manakala aktiviti sukan yang dibenarkan hanya boleh dilakukan secara individu sahaja.

Pihak polis menasihatkan masyarakat Labuan agar mematuhi SOP PKPB yang telah ditetapkan untuk membendung penularan virus Covid-19. 

“Kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat,” jelas Farid.
 
Farid menjelaskan, 13 orang dikompaun atas kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No.8) 2020 yang boleh didenda RM1,000 setiap seorang.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3621