COVID-19: Labuan Hampir Berjaya Landaikan Lengkung

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari. – Foto BERNAMA

LABUAN: Labuan kini hampir berjaya melandaikan lengkung kes COVID-19 dan optimistik kes akan terus menunjukkan trend penurunan ketara, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata penularan dalam kalangan komuniti tempatan dapat dikawal dengan baik, bagaimanapun cabaran kini adalah kemasukan pengembara ke pulau bebas cukai itu.

“Kami sekarang melakukan ‘penyelenggaraan’ di kawasan berisiko tinggi seperti kawasan setinggan atas air dan rumah kongsi untuk memantau pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

“Jika SOP tidak dipatuhi, membiarkan rumah sewa, bilik atau setinggan terus penuh sesak, kita tidak dapat mengawal penyebaran COVID-19 dalam kalangan komuniti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Labuan merekodkan 104 kes pada 7 November sebelum turun kepada 24 kes keesokannya dan 63 kes dicatatkan semalam.

Dr Ismuni berkata sebanyak 34,992 sampel COVID-19 dikumpul dari 27 September sehingga semalam, dan kira-kira 2,000 analisis akan dikeluarkan minggu ini.

Beliau berkata kluster tidak aktif, Bah Bangat dengan 11 kes, Bah Bundle (30) dan Bah Layangan (5) akan tamat pada 14 November.

Kluster Saguking, Tenaga, Bina dan Titian serta Limbungan turut menunjukkan penurunan drastik atau tiada kes beberapa hari ini.

“Kes yang ada kini adalah daripada kontak rapat pesakit positif yang sedang ditangani secara efektif… cabaran terbesar kami adalah kemasukan pengembara dari Sabah. Kita tidak dapat menghalang orang daripada memasuki Labuan, kerana kita masih bergantung kepada makanan dan barangan dari Sabah.

“Sama juga penduduk di sini, kita tidak dapat menghalang mereka daripada melawat keluarga di Sabah dan situasi ini boleh menyumbang kepada kes baharu pada masa akan datang,” katanya.

Labuan mencatatkan kes setiap hari sejak 27 September dengan 1,046 kes kumulatif setakat 9 November berbanding 26 kes pada 26 September. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *