Peruntukan ‘Mega’ Jasa Tidak Masuk Akal, Tengku Zafrul Mangsa Politik, Kata Anwar

Anwar, Mohamad Sabu tolak peruntukan ‘membazir’ untuk Jasa, mahu rakyat diutamakan.

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Belanjawan 2021 adalah jauh lebih besar berbanding bantuan untuk golongan yang memerlukan seperti nelayan dan petani, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ketika mendesak untuk peruntukan itu dibatalkan sama sekali, Anwar berkata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menjadi mangsa kepada mainan pemimpin politik kerajaan, apabila meluluskan peruntukan besar bagi menghidupkan semula Jasa.

Anwar berkata, tidak ada sesiapa boleh menerima peruntukan sebesar itu untuk Jasa ketika rakyat yang terkesan akibat Covid-19 seperti petani dan nelayan mendahagakan pembelaan.

“Saya simpati dengan Menteri Kewangan, dia bukan orang politik. Bila jadi yang macam ini, yang kena jawab adalah Menteri Kewangan. Sebagai sahabat yang simpati, maka batalkan sahajalah. Menteri Kewangan jadi mangsa orang politik. Bagilah hujah mana pun, kita tidak boleh terima,” katanya di Dewan Rakyat.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkata, peruntukan RM85.5 juta itu ialah untuk Jasa membiayai pengambilan lebih ramai kakitangan di semua negeri dan daerah di seluruh negara.

Menurut KKMM, peruntukan itu akan digunakan bagi pembangunan modul dan latihan kompetensi kakitangan serta melengkapkan keperluan prasarana digital untuk menyebarkan maklumat dalam pelbagai bentuk supaya di sampaikan secara berkesan kepada masyarakat.

Anwar turut menggesa Menteri Kewangan membatalkan peruntukan secara one-off berjumlah RM8.6 juta untuk Penggerak Komuniti Tempatan, yang didakwanya memberi keuntungan kepada kelompok daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Menteri Kewangan kena batalkan dana untuk Jasa ini dan juga Penggerak Komuniti Tempatan. Komuniti. One-off geran RM8.6 juta untuk kesenangan kelompok menteri KPKT… menteri kewanagn perlu jaga integriti dan kredibilitinya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Raja (Amanah) Mohamad Sabu secara sinis meminta Anwar menyokong peruntukan Jasa itu, supaya rakyat melihat pemborosan pentadbiran Perikatan Nasional dan menolaknya pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya kurang bersetuju dengan Port Dickson, bukankah RM85.5 juta ini perlu untuk propaganda. Lihat kerajaan kami, tanpa Port Dickson dan DAP, kami berjaya membina kerajaan ketuanan Melayu. Bukankah mereka mencontohi negara besar Amerika Syarikat, ‘white supremacy’.

“Ia akhirnya ditolak oleh rakyat Amerika dalam pilihan raya yang baru sahaja berlalu. Jadi kita sokong belanjawan ini supaya dalam pilihan raya akan datang, dengan wang propaganda ini, rakyat akan tolak kerajaan PN ini,” kata Mohamad.

Anwar berkata, beliau mungkin bersetuju sekiranya jumlah yang diperuntukan untuk Jasa adalah lebih kecil, dianggarkannya cukup sekadar RM8 ribu sahaja.

“Kalau menteri kewangan luluskan sekitar RM8 ribu kita boleh luluskan. Tetapi keadaan rakyat kini susah. zalimlah ambil wang lebih RM80 juta (untuk Jasa) dan RM8.6 juta untuk penggerak komuniti tempatan KPKT, kemudian kata ini belanjawan untuk Covid-19,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1400