Jalan Tikus, Hutan Tebal Cabaran Besar Tangani Pendatang Haram – ESSCOM

KALABAKAN, 9 Nov : Banyaknya jalan-jalan tikus dan kedudukan muka bumi Tawau serta Kalabakan yang berhutan tebal dan bersempadan dengan Indonesia, memberi cabaran besar kepada pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menangani isu pendatang haram di Sabah.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata kawasan sempadan Kampung Kandoangan, Kalimantan Utara, Indonesia dan Kilometer 11, Kalabakan, di sebelah Malaysia menjadi antara jalan tikus yang aktif digunakan tekong darat untuk membawa masuk pendatang haram warga Indonesia ke Malaysia, tidak kira siang atau malam.

“Taktik pendatang haram itu, kebiasaannya bergerak dalam kelompok sepuluh hingga 15 orang dan kemudian akan ‘disambut’ ejen menggunakan pacuan empat roda di sempadan Malaysia,” katanya kepada pemberita semasa tinjauan ESSCom di sini, baru-baru ini.

Wakil Bernama juga berpeluang bersama pasukan keselamatan itu meninjau tempat transit (staging point) yang dikesan digunakan pendatang haram untuk menyusup masuk ke Malaysia melalui Sabah.

Menurut Ahmad Fuad, dengan bentuk muka bumi dan geografi persekitaran laluan yang dilitupi hutan tebal, ia seumpama ‘perisai’ bagi pendatang haram bersembunyi sehingga berhari-hari lamanya daripada dihidu pasukan keselamatan yang membuat rondaan di kawasan itu.

Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat hingga ke Tawau. Daerah terlibat Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

Ahmad Fuad berkata pihak berkuasa mengesan terdapat banyak laluan tikus atau staging point sepanjang 200 kilometer dari Tawau sehingga Kalabakan dan sejak April hingga Oktober lepas,  sebanyak 1,995 pendatang haram ditahan dan diusir balik ke negara asal kerana cubaan menyusup  masuk melalui perairan Tawau.

Katanya, kedatangan migran haram melalui jalan-jalan tikus ini dikhuatiri menjadi punca penularan kes COVID-19 di Sabah yang setakat semalam (8 Nov) merekodkan sebanyak 524 kes baharu daripada keseluruhan 852 kes yang dilaporkan seluruh negara.

Sabah masih menjadi negeri tertinggi kes COVID-19 dengan jumlah keseluruhan 20,422 daripada bilangan kumulatif kes 40,209 kes seluruh negara. 

Menjelas lanjut mengenai modusi operandi berkenaan, Ahmad Fuad berkata migran haram ini akan dibawa keluar melalui jalan-jalan ladang kelapa sawit yang biasanya sukar dilalui kenderaan biasa sehingga ke jalan utama di Kalabakan, sebelum meneruskan perjalanan sama ada ke Keningau, Tawau atau ke kawasan lain di pantai timur Sabah.

Katanya, terdapat lebih lima ‘staging point’ dikesan antara jarak 5 hingga 10 kilometer dari KM11-Kandoangan yang dijadikan jalan tikus bagi aktiviti penyeludupan pendatang haram, antaranya di Jeti Kretam, Ladang Kretam di sini.

“Untuk tiba di jeti ini dari Nunukan, Indonesia, ia hanya memakan masa  40 hingga 50 minit dengan  menggunakan bot berkuasa 200hp dengan menyusuri Sungai Serudong dan Sungai Silimpopon (Tawau).

“Laluan bercabang Sungai Serudong menjadikan kegiatan jenayah rentas sempadan di Kalabakan ini lebih sukar dikesan kerana mereka boleh masuk dan bersembunyi di laluan lain,” katanya menambah tekong biasanya mengambil upah antara RM200 hingga RM800 untuk membawa seorang pendatang haram ke Sabah.

“Walaupun rondaan kerap dilakukan tetapi ada masanya pendatang ini dapat meloloskan diri dengan berlindung di ladang-ladang dan di Kalabakan sahaja terdapat lima ladang besar dengan keluasan setiap ladang melebihi 20,000 hektar,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, pasukan keselamatan yang membuat pemantauan sedaya upaya memastikan jalan tikus atau staging point dikenal pasti ini tidak dibolosi pendatang haram sekali gus mengekang penularan COVID-19 di Sabah.

“Kita ada Pos Kawalan Keselamatan Burs Point menempatkan Pasukan Gerakan Am serta Pos Serudong yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia bertanggungjawab memantau serta menjaga keselamatan sempadan sekali gus mengagalkan banyak cubaan menyusup masuk ke Sabah,” katanya.

Sementara itu, katanya ESSCom bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung jenayah rentas sempada termasuk aktiviti kemasukan pendatang haram.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad turut menasihatkan pengurus-pengurus ladang kelapa sawit di kawasan itu agar melaporkan kepada pasukan keselamatan jika mengetahui kemasukan pendatang haram ini atau lokasi persembunyian mereka di ladang-ladang.

“Kita sudah memberi amaran dan nasihat kepada pihak ladang dan orang awam supaya tidak bersekongkol dengan tekong yang membawa masuk pendatang haram ini ke negara ini.

“Sekiranya didapati mereka turut melindungi pendatang haram, tindakan undang-undang mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) akan dikenakan,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *