Lelaki Positif COVID-19 Lari Dari Pusat Kuarantin Berjaya Ditahan Kembali Semasa Mencuri

Habibi Majinji

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang positif COVID-19 dan melarikan diri dari pusat kuarantin berjaya ditahan semula ketika sedang mencuri di sebuah hotel di Jalan Gaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata suspek kini sudah didakwa dan mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan di Kompleks Mahkamah di sini.

“Kejadian awal berlaku apabila pesalah yang dikenali sebagai Asmil Tito, 20, yang juga Pendatang Tanpa Izin (PTI) ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Jaya Diri, Manggatal pada 12 Oktober lalu dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

“Sebaik ditahan suspek kemudiannya ditahan di Lokap Berpusat Kepayan dan disahkan positif COVID-19 sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ditempatkan di Pusat Kuarantin Akedemi Bomba Jalan Sulaman,” katanya.

Habibi berkata semasa sampai di pusat kuarantin terbabit suspek bertindak melarikan diri dalam keadaan positif COVID-19 pada 19 Oktober.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan semula selepas memecah masuk sebuah hotel di Jalan Gaya dengan bantuan orang awam kira-kira 10 hari kemudian iaitu pada 29 Oktober.

“Suspek kemudiannya ditahan untuk disiasat mengikut dua kertas siasatan yang dibuka terhadapnya masing-masing Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana Menceroboh dan  Seksyen 269 Kanun Keseksaan, perbuatan cuai yang barangkali akan merebakkan jangkitan sebarang penyakit yang merbahaya kepada nyawa,” katanya.

Tambahnya ujian kesihatan kali kedua yang dijalankan terhadap suspek pada 2 November lalu adalah negatif COVID-19.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu mengikut empat pertuduhan iaitu Seksyen 22A (1) Ordianan Kesalahan-kesalahan Kecil Negeri Sabah, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969, Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Suspek mengaku terhadap semua pertuduhan dan dijatuhkan hukuman dua bulan penjara bagi pertuduhan pertama, empat bulan penjara serta satu sebatan bagi pertuduhan kedua dan 15 bulan penjara bagi pertuduhan ketiga.

“Bagi pertuduhan keempat suspek akan dipenjara enam bulan dan dirujuk ke Jabatan Imigresen manakala hukuman ini berjalan berasingan dengan hukuman kes-kes lain,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5818