Cukai Tembakau Jejas Perniagaan Di Labuan, Kata Peniaga

Ekonomi Labuan bergantung pada pelawat dari Sabah dan mereka yang datang untuk mendapatkan barang bebas cukai, termasuk produk tembakau.

KOTA KINABALU: Ahli perniagaan Labuan bimbang keputusan kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai akan memburukkan lagi perniagaan di pulau itu.

Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (Labuan BEBC) BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina) Azhar Othman berkata, mereka menolak langkah itu kerana sektor runcit bebas cukai adalah penjana pendapatan dan tarikan utama di Labuan.

Beliau berkata sektor itu, yang menyediakan ratusan pekerjaan kepada penduduk tempatan, sangat diperlukan memandangkan Labuan masih belum pulih daripada kemerosotan aktiviti minyak dan gas selain terjejas akibat wabak Covid-19.

“Gangguan seterusnya akan memusnahkan perniagaan dan mungkin juga mata pencarian mereka,” kata Azhar.

“Kita menggesa kerajaan supaya tidak melaksanakan langkah ini kerana banyak keburukan daripada kebaikannya.

“Labuan BEBC menolak langkah ini. Ini bukan perkara baru kerana Jabatan Kastam cuba melaksanakannya beberapa tahun lalu, tetapi gagal.

“Oleh kerana penyeludupan merupakan isu utama, maka kita sarankan supaya kerajaan fokus kepada tugas penguatkuasaan ke atas pengeksport dan penyeludup bukan di Labuan semata-mata.

Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli.

Terdahulu, ketika pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan akan menjadikan rokok dan produk tembakau sebagai barang kena cukai di semua pulau bebas cukai seperti Labuan, Langkawi, Tioman, dan Pangkor, termasuk di setiap zon bebas yang diberi permit jualan runcit rokok bebas cukai.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli turut menolak keputusan ini, dengan berkata, ia bukanlah sesuatu yang diperlukan oleh komuniti perniagaan pada waktu mencabar kini susulan impak pandemik.

“Mereka kelemasan dan cuba bertahan, hatta sebelum meletusnya krisis Covid-19 lagi berikutan kejatuhan sektor minyak dan gas di sini.

“Sekarang, dengan tamparan hebat seperti ini, mereka mungkin ‘tersungkur’. Ekonomi Labuan banyak bergantung kepada pelawat dari Sabah dan mereka yang tertarik untuk membeli barang bebas cukai, termasuk produk tembakau.

“Saya tahu pembuat keputusan mempunyai alasan, tetapi apa yang tinggal untuk Labuan? Banyak yang akan menganggur (kerana hilang pendapatan daripada jproduk tembakau bebas cukai).

“Saya akan bangkitkan perkara ini di Parlimen. Saya mahu tahu jika pengenaan cukai ini betul-betul dibuat, maka apakah langkah seterusnya untuk menyelesaikan masalah dan memastikan ekonomi Labuan terus berkembang,” katanya.

Rozman berkata, langkah itu ini tidak adil kepada Labuan, yang menurutnya, kurang mendapat perhatian berbanding Wilayah Persekutuan lain di semenanjung.

Azhar bersetuju dengan Rozman, dengan berkata, Labuan juga mempunyai kadar pengangguran tertinggi dalam beberapa tahun terakhir ini, terutama disebabkan penurunan harga minyak.

“Pelancongan gagal berkembang pesat dan tidak akan memberi impak positif ke atas ekonomi tempatan, berbanding minyak dan gas dan perbelanjaan bebas cukai.

“Banyak kedai dan perniagaan ditutup. Dasar atau peraturan yang tidak menyokong pertumbuhan industri di Labuan harus dibantah,” katanya.

Beliau berkta, tidak seperti Pulau Pinang, Labuan masih memerlukan sektor runcit bebas cukai untuk menyediakan pendapatan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan sekiranya industri lain tidak berkembang.

Azhar berkata, cukai produk tembakau bebas cukai pasti mengakibatkan kesan berantai yang negatif ke atas industri lain seperti pelancongan dan sektor perhotelan, yang menurutnya akan “mati perlahan-perlahan.”

“Jumlah pengunjung akan menurun dan ini akan mempengaruhi bukan sahaja kedai, tetapi juga sektor lain yang bergantung pada pelancong dan pelawat.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *