PKPD: 6 Individu Dikenakan Kompaun Di Kudat

KUDAT: Sebanyak enam kompaun dikeluarkan terhadap individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran sejak ia dilaksanakan pada 30 Oktober sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, antara kesalahan tersebut adalah tidak memakai pelitup muka dan kenderaan melebihi muatan.

FIRDAUS FRANCIS

“Masyarakat di daerah ini diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya kita sama-sama dapat membantu membendung penularan lanjut wabak Covid-19 di daerah ini.

“Setiap individu tidak kira orang perseorangan, pekerja atau majikan perlu mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu itu walaupun terdapat kelonggaran seperti dibenarkan ke bandar bagi urusan di bank dan membuka premis perniagaan semasa dalam waktu PKPD ini,” katanya selepas mengadakan pemantauan Operasi Khas Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung (Kg) Landung Ayang, di sini hari ini.

PKPD dilaksanakan di tiga lokaliti di Kudat iaitu Kg Landung Ayang, Kg Pengaraban dan Kg Tanjung Kapur yang melibatkan  2,393 unit rumah dengan 13,884 penduduk. PKPD itu bermula pada 30 Oktober sehingga 12 November ini.

Selain PDRM, operasi berkenaan turut melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah Kudat dan Pejabat Penerangan Daerah Kudat.

Hadir sama adalah Inspektor Kesihatan, Mohd Hamzah Zainal dan Pegawai Penerangan Daerah Kudat, Nadia M Lawaji. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *