Peniaga Sayur Kundasang Terjejas Harap Dapat Bantuan

Hanya kira-kira 30 daripada 164 peniaga sayur di gerai menjual sayur tanah tinggi di Kundasang yang beroperasi sejak PKPB.

KOTA KINABALU: Lebih 200 peniaga sayur tanah tinggi di Kundasang, kira-kira 95 kilometer (km) dari sini, terjejas pendapatan harian apabila tiada pelancong atau pelanggan dari luar yang singgah ke daerah berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penjaja Kundasang, Mariana Taliban, berkata daripada 228 peniaga di gerai sayur dan buah, hanya kira-kira 30 peniaga yang masih berjual setakat ini.

Beliau tidak menafikan, keadaan itu turut disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini, selain peniaga tiada modal untuk berniaga terutama penjaja buah-buahan.

“Pendapatan harian kami terutama peniaga yang bergantung sepenuhnya dengan jualan sayur atau buah-buahan memang terjejas teruk. Ini kerana kebanyakan pelanggan kami di gerai ini lebih kepada orang luar seperti pelancong atau yang singgah sebelum meneruskan ke daerah lain.

“Bagaimanapun, sekarang kami hanya mengharapkan penduduk setempat sahaja untuk membeli yang kadang-kadang tidak sampai pun 20 orang satu hari. Jika ada pun orang luar yang singgah, lazimnya hanya mereka yang dapat merentas daerah atas urusan kerja.

“Keadaan ini menyebabkan kadang-kadamg satu hari kami hanya memperoleh RM50 sahaja berbanding sebelum ini yang mencecah hingga lebih RM400 sehari,” katanya kepada BH di sini.

Persatuan Penjaja Kundasang mempunyai 228 ahli merangkumi peniaga di gerai sayur, buah, bunga, ikan, runcit dan pemborong, dengan 164 adalah penjual sayur.

PKPB seluruh Sabah bermula pada 13 Oktober lalu dan diteruskan sehingga 9 November ini.

Bagaimanapun, Mariana berkata peniaga di gerai buah-buahan dengan membabitkan 34 peniaga, sudah tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu hingga sekarang.

“Ini kerana mereka sudah tiada modal untuk memulakan perniagaan selepas PKP dulu,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada lambakan sayur kali ini berbanding ketika pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

“Pengeluaran sayur tanah tinggi kali ini tidak begitu banyak tetapi masih cukup untuk menampung permintaan. Cuma masalah sekarang, kami tiada pembeli,” katanya.

Sehubungan itu, Mariana berharap masalah yang dihadapi peniaga di Kundasang dapat diberi perhatian oleh kerajaan.

Ini (berniaga) adalah ekonomi utama kami di sini sebab itu kami berharap kerajaan akan memberi bantuan. Ini termasuk bantuan bakul makanan yang diharapkan bukan hanya kepada mereka yang kuarantin tetapi semua peniaga.

“Ini kerana semua peniaga juga terjejas, bukan mereka yang kuarantin sahaja. Kami berharap tiada yang dikecualikan daripada menerima bantuan,” katanya turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi bantuan kepada peniaga dikenakan kuarantin. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2942