Geran Khas Buat Peniaga Sabah, Perkasa Pelancongan

KUALA LUMPUR: Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, geran itu juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.

“Selain itu sebanyak RM50 juta disediakan bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara,” katanya pada Pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi kampung-kampung budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, RM35 juta disediakan kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan berikutan potensinya sebagai pelaburan baharu negara.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1537