BPR Bantu Golongan B40 Kembali ‘Bernafas’

KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) ternyata memberi kelegaan kepada golongan B40 khususnya mereka yang berkeluarga.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia Azman Kang Abdullah berkata, pemberian bantuan itu kelak dilihat inisiatif yang mampu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah selain merancakkan semula ekonomi domestik.

Menurutnya, kini rakyat sudah cukup terbeban dengan pandemik Covid-19 khususnya mereka yang kehilangan kerja atau pengurangan pendapatan bulanan.

“Pemberian BPR ini ternyata dinantikan golongan B40 kerana mereka antara yang terjejas teruk sejak Mac lalu kerana kehilangan punca pendapatan.

“Bantuan antara RM350 hingga RM1,800 memberi manfaat yang besar kepada golongan ini dan meningkatkan pendapatan boleh guna yang akan dialirkan semula kepada ekonomi.

“Inisiatif ini juga membantu golongan berkenaan kembali ‘bernafas’ kerana ada yang terpaksa mengikat perut untuk membeli barang keperluan harian,” katanya kepada Harian Metro.

Azman juga berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak meminggirkan golongan berpendapatan sederhana M40 kerana turut menerima manfaat sama.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi mencabar ini, kerajaan masih cuba menawarkan inisiatif kepada rakyat yang seharusnya dimanfaat sebaik mungkin oleh penerima.

“Bantuan ini diharap dapat digunakan sebaik mungkin oleh penerima dan tidak dibazirkan dengan perkara yang tidak sepatutnya.

“Rakyat juga perlu menghargai bantuan yang diberikan di saat ekonomi negara masih lagi perlahan namun kerajaan tetap mendengar rintihan rakyat,” katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam mengumumkan BPR diberikan bagi menggantikan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Menerusi BPR, isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 dengan seorang anak menerima RM1,200 manakala lebih dua orang anak pula menerima RM1,500.

Bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 mereka yang menerima bantuan RM800 dan RM500 bagi seorang anak manakala RM750 dan RM1,200 bagi memiliki dua orang anak atau lebih.

Golongan bujang juga tidak terkecuali apabila menerima RM350 bagi berpendapatan RM2,500.

Secara keseluruhan, BPR memberi manfaat kepada 8.1 juta penerima dengan peruntukan RM6.5 bilion. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1943