PTS Tidak Lagi Terima Tahan Baharu – MKN Sabah

Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof (tengah) bercakap kepada media selepas memantau PTS Kota Kinabalu di Manggatal, hari ini.

KOTA KINABALU: Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah tidak boleh lagi menerima penambahan tahanan ketika ini kerana kapasiti sedia ada sudah hampir mencapai kapasiti baharu yang ditetapkan.

Dengan itu, segala kemasukan baharu ke PTS tidak akan dilakukan ketika ini dan prosiding (mahkamah) melibatkan pendatang asing tanpa izin (PTI) juga ditangguhkan.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sekarang terdapat 5,238 orang tahanan yang berada di empat PTS seluruh Sabah.

Beliau berkata, dalam situasi biasa, PTS di Sabah boleh menempatkan sehingga 6,750 orang namun ketika ini, kapasiti itu diturunkan kepada 5,500 bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Kalau boleh, kita mahu tahanan diturunkan kepada 5,000 orang supaya ada penjarakan fizikal.

“Tapi perkara ini tidak boleh dielakkan sebab dari segi perundangan, penjara tidak boleh menyimpan banduan PTI yang sudah selesai menjalani hukuman.

“Maka, kita kena terima mereka untuk ditempatkan di PTS. Malah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sudah memberi arahan supaya tiada kemasukan baharu akan dibuat di PTS,” katanya kepada media di PTS Menggatal, di sini hari ini.

Sitti Saleha berkata, proses pengusiran tahanan juga tidak dapat dilakukan ketika ini susulan negara jiran telah menutup sempadan negara sejak Mac lalu.

Bagaimanapun pada Jun lalu, lebih 4,000 tahanan berjaya diusir pulang ke Filipina dan Indonesia selepas perbincangan diadakan dengan kedutaan kedua-dua negara.

Menurutnya, apabila lengkuk jangkitan Covid-19 berjaya dilandaikan, kerajaan akan berunding semula dengan negara jiran bagi mengusir pulang tahanan yang masih berada di PTS.

Tambahnya, sebagai persediaan, MKN telah berbincang dengan kerajaan negeri bagi menyediakan lapan dewan untuk dijadikan pusat kuarantin bagi menempatkan mana-mana tahanan PTI yang ditahan.

Empat PTS di Sabah adalah di Kota Kinabalu,  Tawau, Sandakan dan Papar. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2579