KKM Tidak Pasti Kematian Remaja 14 Tahun Di Sabah Akibat Covid-19 Atau TBM

Jika kematian remaja berusia 14 tahun itu disebabkan Covid-19, ia akan menjadi kes kematian termuda semalam.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan tidak pasti punca sebenar satu kes kematian hari ini melibatkan seorang remaja berusia 14 tahun yang positif Covid-19 disebabkan wabak itu atau satu lagi penyakit berbahaya, tuberculous meningitis (TBM) dengan komplikasi hydrocephalus.

Meningitis adalah jangkitan selaput otak manakala hydrocephalus merupakan komplikasi kerananya, iaitu pengaliran cecair serebrospinal tersekat dan menyebabkan kepala membesar dengan mendadak.

“Komplikasi ditambah dengan positif jangkitan Covid-19 ini memudaratkan pesakit,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

“Kita tidak pasti penyakit TBM atau Covid-19 yang membawa kepada kematian tapi dua-dua penyakit ini boleh bawa maut.”

Remaja tersebut, seorang lelaki, merupakan seorang warga asing, dan kematiannya dilaporkan di Sabah. Mangsa antara 12 kes kematian yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Sekiranya kematiannya akibat Covid-19, mangsa merupakan kes termuda hari ini.

Mangsa termuda dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 adalah seorang bayi perempuan berusia setahun, juga di Sabah.

Mangsa didapati positif pada 5 Okt dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.

7 positif dalam saringan Parlimen jangkitan luar

Sementara itu, mengulas 7 individu yang sepatutnya bertugas di Parlimen tetapi didapati positif melalui saringan sebelum sidang Dewan Rakyat bermula, Hisham mengesahkan kebanyakan jangkitan bukan di Parlimen tetapi di luar.

“Kalau hadir himpunan di Parlimen tak patuh SOP kebarangkalian dijangkiti ada,” katanya, dan menasihatkan semua petugas supaya patuh kepada SOP walaupun dalam komuniti masing-masing.

Kementerian mencadangkan suatu ujian berkala 2 minggu sekali ke atas petugas dan wakil rakyat yang hadir ke Parlimen.

“Bukan hanya pada permulaan sesi sahaja tapi berkala 2 minggu sekali,” katanya, dan menambah jumlah pegawai yang perlu hadir ke Parlimen harus dihadkan dan hanya benar-benar perlu hadir sahaja dibenarkan. Selebihnya, Hisham sarankan berhubung melalui video.

Sementara itu, Hisham mahu ahli Parlimen mematuhi SOP bukan sahaja dalam kalangan mereka di Dewan Rakyat, tetapi juga apabila pulang ke tempat penginapan dan bersama masyarakat.

“Walaupun terdapat saringan suhu, seperti yang sedia maklum, 60 hingga 70% daripada pembawa adalah tidak bergejala. Inilah yang kita bimbangkan,” katanya.

Kluster Seridana babit polis bantuan

Antara 7 individu itu seorang polis bantuan yang berkhidmat di bangunan Pejabat Perdana Menteri. Hisham memaklumkan saringan di PMO mengesan 4 kes positif lain, iaitu 3 rakan mangsa dan isterinya.

Pengesanan ini membolehkan kementerian mengesan kemunculan kluster baharu, yang digelar Kluster Seridana.

Selain polis bantuan ini, turut dilaporkan positif adalah seorang petugas media dan pembantu kepada seorang senator. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *