Kluster PTS Manggatal Penyumbang Terbesar Kes Covid-19 Di Kota Kinabalu Hari Ini

KOTA KINABALU: Kes Covid-19 di Kota Kinabalu meningkat mendadak hari ini iaitu 341 jangkitan dengan 229 daripada kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, peningkatan mendadak di Kota Kinabalu dengan kluster PTS adalah penyumbang terbanyak memang sudah dijangka.

“Daripada 341 kes Covid-19 baharu di Kota Kinabalu hari ini, 67.2% daripada kluster PTS Manggatal.

“Selain itu, kluster Penjara Kepayan turut mencatat peningkatan 42 kes hari ini,” katanya.

Masidi berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini 678 kes dengan 12 kematian dicatatkan.

Daripada jumlah kes kematian itu, 9 di Kota Kinabalu manakala masing-masing 1 di Kudat, Tawau dan Sandakan.

“Hari ini juga, seramai 549 pesakit Covid-19 sembuh manakala seramai 3,139 pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 695 orang di hospital dan 2,444 di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC).

“Selain itu, seramai 79 pesakit lagi kini dirawat di unit rawatan rapi dengan 21 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata jumlah kapasiti katil keseluruhan di hospital Covid-19 dan PKRC di Sabah ketika ini sebanyak 8,241.

“Bilangan katil di hospital 883, manakala di PKRC 7,358 dan penggunaan katil keseluruhan hari ini sebanyak 38.08%,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya berkata, sebanyak 131,052 bakul makanan diagihkan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19 setakat ini.

Katanya, kerajaan kini dalam proses menambah baik bantuan bakul makanan bagi memastikan program itu benar-benar membantu rakyat yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

“Sehingga hari ini sebanyak 131,052 bakul makanan diagihkan di seluruh Sabah dan cara kita mengagihkan masih mensasarkan golongan sasar.

“Golongan sasar ialah semua penduduk yang berada di kawasan PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan) akan mendapat bantuan bakul makanan manakala di kawasan PKPB, (perintah kawalan pergerakan bersyarat) kerajaan akan memberikan keutamaan kepada keluarga yang mendapat perintah kuarantin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pusat pengumpulan bantuan bakul makanan bagi daerah Tuaran, hari ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *