Noor Hisham Pelik Dakwaan Bekalan PPE Kurang Di Sabah

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, stok PPE di Sabah boleh bertahan selama 29 hari.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tidak wujud kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) di Sabah dan dakwaan sebaliknya mungkin merupakan “berita palsu”.

Pada sidang media hari ini, Noor Hisham berkata, bekalan PPE di negeri itu sentiasa dipantau, selain menambah bahawa Kementerian Kesihatan meluluskan RM25 juta untuk perolehan kecemasan peralatan itu sahaja.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya khabar angin ini. Tidak juga disebut hospital mana. Mungkin ia berita palsu. Kenapa tidak rujukkan (perkara itu) kepada kami. Kami boleh terangkan penggunaan PPE di setiap negeri terbabit dan juga daerah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat garis panduan yang jelas berhubung penggunaan pakaian pelindung bagi mereka yang bekerja di Unit Rawatan Rapi, wad Covid-19 dan mereka yang dikehendaki memakainya di lapangan.

Katanya, stok PPE di Sabah boleh bertahan selama 29 hari, sementara peralatan melalui perolehan kecemasaan boleh bertahan selama 3 bulan.

“Seperti saya katakana, cabaran gelombang ke-3 Covid-19 ini lebih besar, tetapi kesiapsiagaan kami juga lebih baik berbanding pada Mac dan April.”

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan dakwaan bahawa sesetengah petugas barisan hadapan terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membeli PPE kerana bekalannya yang terhad.

Seorang petugas kesihatan di sebuah hospital di pedalaman Sabah yang enggan dikenali memberitahu FMT bahawa PPE yang mereka beli sendiri itu, termasuklah yang dibeli secara atas talian dan tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan.

“Kami faham bahawa keutamaan diberikan kepada zon merah dan kami tidak mahu menyalahkan kerajaan. “Namun begitu kami juga bimbang kerana tidak tahu di mana virus itu menanti, “ kata petugas yang mengurus kemasukan pesakit luar. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *