Dr Christina Nafi Petugas Kesihatan Beli PPE Sendiri Di Sabah

KOTA KINABALU: Bekalan kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Sabah mampu bertahan antara 29 hingga 97 hari.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata, tiada isu kekurangan bekalan PPE itu sehingga timbul dakwaan mengatakan petugas kesihatan terpaksa membeli kelengkapan itu di Sabah, sebagaimana yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Sabah sentiasa memastikan bekalan PPE mencukupi dan diedarkan sesuai dengan keperluan.

“KKM juga sudah mengeluarkan panduan mengenai penggunaan PPE yang disarankan untuk digunakan ketika menguruskan pesakit dalam disiasat (PUI) dan disahkan positif Covid-19 di fasiliti kesihatan negara pada 21 April lalu di semua hospital untuk memastikan penggunaan yang betul dan mengurangkan pembaziran,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dr Christina berkata, KKM memperuntukkan RM25 juta membeli PPE untuk kegunaan Sabah dan pihaknya sudah menggunakan RM18 juta untuk mendapatkan kelengkapan itu.

Beliau berkata, dana selebihnya pula disalurkan ke semua hospital dan pejabat kesihatan di daerah di negeri ini.

“Selain peruntukan KKM, jabatan ini juga menerima PPE dari kerajaan negeri, sumbangan syarikat, pertubuhan bukan kerajaan dan individu. Akan ada mobilisasi PPE dari fasiliti (kesihatan negara) untuk petugas barisan hadapan lain,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *