Covid-19: Pusat Rawatan ILKKM Tawau Tempatkan Pesakit Risiko Rendah

Dr. Mohammad Azmy Hamron

TAWAU: Pusat Rawatan COVID-19 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Tawau mampu menyediakan 200 katil untuk pesakit tersebut dalam satu-satu masa.

Pegawai Perubatan Hospital Besar Tawau Dr. Mohammad Azmy Hamron berkata, semua pesakit yang ditempatkan di ILKKM Tawau ini adalah mereka yang didapati positif tetapi risiko rendah.

“Walaupun pesakit yang di tempatkan di sini stabil, namun mereka masih memerlukan perhatian dan sekiranya mempunyai gejala mereka akan dihantar ke Hospital Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam majlis sumbangan JAKIM Sabah kepada petugas barisan hadapan COVID-19, di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, fungsi LKKM ini ialah menyediakan tempat dan sebagai pusat pemerhatian pesakit COVID-19 yang tidak mempunyai gejala berat.

“Boleh dikatakan setiap hari kita menerima berpuluh-puluh pesakit sejak gelombang ketiga ini berlaku tetapi setiap hari juga ada yang dibenarkan keluar dan sihat,” katanya.

Terdahulu, Pusat Rawatan COVID-19 ILKKM Tawau ini dibuka sejak gelombang pertama lagi, namun ditutup setelah daerah Tawau menjadi zon hijau dan dibuka semula dua bulan lalu kerana adanya gelombang baharu. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

702