Belanjawan 2021: Beri Bantuan Sara Hidup Kepada Rakyat Terjejas

Kerajaan dicadang memberi bantuan sara hidup bulanan berjumlah sebanyak RM250 hingga RM300 selama enam bulan kepada rakyat yang memerlukan melalui pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memberi bantuan sara hidup bulanan berjumlah sebanyak RM250 hingga RM300 selama enam bulan kepada rakyat yang memerlukan melalui pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat ini.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata bantuan itu disifatkan penting bagi menyelamatkan rakyat khususnya golongan B40 yang terkesan akibat COVID-19.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya mendapat banyak keluhan daripada rakyat khususnya di kawasan ibu kota supaya suara mereka yang amat memerlukan bantuan diberi perhatian kerajaan.

“Saya berharap Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen nanti adalah belanjawan yang akan menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara.

“Saya selusuri keluhan rakyat, ada yang mahu pinjam duit dari ‘Ah long’, tidak bayar sewa rumah, diberhentikan kerja malah hingga terpaksa ikat perut untuk kelangsungan hidup sepanjang pandemik ini.

“Justeru ini adalah masa di mana rakyat amat perlukan bantuan daripada kerajaan, tiada siapa boleh menafikannya, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Muhamad Muqharabbin, berkata kerajaan juga diminta untuk mempertimbangkan semula cadangan pengeluaran wang dari akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Beliau berkata, bagi golongan pelajar di institusi pengajian tinggi pula, mereka boleh dibantu dengan diberikan pengecualian yuran.

Katanya, begitu juga dengan golongan peniaga kecil, mereka perlu dibantu dengan pemberian dana sebanyak RM3,000 untuk perniagaan baharu melalui Belanjawan 2021 ini.

“Penurunan sewa bulanan bagi pengusaha yang menyewa ruang di gedung atau pasar raya selain memberikan lesen sementara bagi peniaga yang berniaga di jalanan bagi tempoh enam bulan ini.

“Saya mengharapkan supaya kerajaan benar-benar prihatin kepada rakyat dan jauhkan birokrasi ketika mereka sedang tersepit.

“Kita tidak mahu sampai rakyat turun ke jalanan seperti yang berlaku di negara jiran dengan mencetuskan huru hara kerana marah dengan kerajaan, ” katanya. –

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *