Hanya Darurat Dapat Elak PRK Batu Sapi, PRN Sarawak

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, pilihan raya kecil di Batu Sapi dan pilihan raya negeri Sarawak hanya boleh ditangguhkan sehingga pandemik Covid-19 berakhir sekiranya darurat diisytiharkan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak boleh dielakkan kecuali darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Disember depan manakala PRN Sarawak berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa tidak dapat dielakkan.

“Ini kerana menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen.

“Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihanraya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dalam perutusan khas mengenai situasi semasa Covid-19, hari ini.

Muhyiddin berkata, bagaimanapun tiada apa yang boleh dilakukan untuk menangguhkan PRK dan PRN itu berikutan ia kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir.

“Tetapi, jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hatilah, jagalah diri dan patuhi SOP (prosedur operasi standard) dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan,” katanya.

Menurutnya, dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan beliau hari ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan ramai petugas pilihanraya meluahkan kebimbangan untuk bertugas di PRK Batu Sapi berikutan takut terkena jangkitan Covid-19.

“Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) juga melaporkan jika PRN Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang akan keadaan di kawasan pedalaman Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap apakah akan mampu menampung peningkatan kes positif Covid-19 yang berkemungkinan naik secara mendadak selepas pilihanraya.

“Keupayaan pasukan barisan hadapan dan logistik kesihatan juga akan menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi di Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses.

“Ini tidak mengambil kira kos tambahan yang akan ditanggung kerajaan dan kos ke atas ekonomi jika penularan jangkitan Covid-19 berlaku dengan mendadak selepas pilihanraya,” katanya.

Katanya, di Sabah sahaja dianggarkan kerajaan terpaksa membelanjakan setengah bilion ringgit jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan.

“Ini pandangan yang diberikan pakar dalam pengurusan pilihan raya dan kesihatan di negara kita. Saya mestilah mendengar pandangan mereka.

“Ada pihak mencadangkan kepada saya supaya kita perketatkan SOP pilihan raya.

“Ya, boleh. Saya akan teliti SOP yang disediakan oleh SPR untuk PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak cuma saya tahu banyak kekangan yang dihadapi SPR untuk menggubal satu SOP yang benar-benar berkesan dalam memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihanraya diadakan,” katanya.

Menurutnya, antara kekangan dihadapi adalah untuk menghalang pergerakan pengundi di zon merah untuk keluar mengundi kerana mereka ada hak untuk mengundi di sisi perlembagaan.

“Batu Sapi adalah kawasan merah. Kita minta penduduk Batu Sapi supaya duduk di rumah.

“Tetapi oleh kerana ada pilihan raya mereka terpaksa keluar beramai-ramai untuk mengundi atau mungkin peratusan keluar mengundi akan menjadi rendah, tetapi itulah demokrasi,” katanya.

Memperincikan mengenai PRN Sarawak, Muhyiddin berkata, pergerakan pengundi dari kawasan merah ke hijau juga tidak dapat dihalang.

“Cuba bayangkan, Kuching sekarang adalah kawasan merah yang mencatatkan lebih 70 kes Covid-19 dan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sekarang, penduduk di Kuching tidak dibenarkan keluar dari daerah ini.

“Dengan ini kita dapat membendung penularan Covid-19 ke daerah lain yang masih berstatus hijau,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *