Mahu SOP Dilonggarkan Untuk Beli Makanan

Sebahagian penduduk Taman Semarak, Tawau, mengadakan bantahan aman, petang tadi. Gambar Ihsan Pembaca

TAWAU: Penduduk Taman Semarak di sini, membuat bantahan aman merayu pihak berkuasa memberi kelonggaran berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu petang tadi.

Menerusi satu rakaman video yang tular di Facebook, penduduk merayu supaya setiap ketua keluarga dibenarkan untuk keluar membeli barang keperluan di kedai berhampiran.

Sebahagian penduduk Taman Semarak, Tawau, mengadakan bantahan aman, petang tadi. Gambar Ihsan Pembaca

Mereka mendakwa belum mendapat sebarang bentuk bantuan makanan daripada kerajaan walaupun penguatkuasaan PKPD di kawasan taman perumahan itu sudah memasuki hari keempat hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai, Sarifuddin Hata berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah digesa mencari alternatif lain termasuk menyalurkan lebih banyak bantuan bekalan makanan ke kawasan terbabit.

Menurutnya, ketika ini penduduk hanya dibenarkan membeli makanan di beberapa kedai runcit di kawasan perumahan itu, namun bekalan yang ada amat terhad malah tidak dapat menampung permintaan lebih 4,000 keluarga di situ.

“PKOB wajar memikirkan alternatif lain sama ada menghadkan jumlah penduduk yang boleh keluar membeli keperluan di pasar raya dan pasar basah terdekat atau membawa masuk kedai runcit dan pasar basah bergerak ke Taman Semarak secara berkala,” katanya.

Dalam pada itu, Sarifuddin turut menyatakan kebimbangannya jika PKPD disambung selepas ini dan dikhuatiri menyebabkan penduduk semakin terdesak selain menyebabkan kehidupan harian mereka terjejas akibat terputus bekalan makanan.

“Kita mohon supaya bantuan bakul makanan yang disediakan pihak kerajaan dipercepatkan dan dihantar ke setiap rumah penduduk tanpa ada yang tercicir bagi memastikan semua mendapat manfaat.

“Diharapkan kerajaan negeri atau penyelaras bantuan bakul makanan di Taman Semarak ini ditangani dengan baik dan dipercepatkan supaya rakyat mendapat bekalan yang mencukupi sepanjang 14 hari tempoh PKPD,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan dua kawasan di daerah Tawau dikenakan (PKPD) iaitu Taman Semarak dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Balung berkuat kuasa 26 Oktober hingga 10 November depan membabitkan 4,266 rumah dengan jumlah penduduk 21,470 orang.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *