Sabah Peruntuk RM35 Juta Bantuan Prihatin Covid-19 Untuk Petani, Penternak & Nelayan

KOTA KINABALU: Sejumlah RM35 juta disediakan untuk membantu penggiat sektor pertanian yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di bawah Bantuan Prihatin Covid-19 Negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, bantuan berjumlah RM34.87 juta itu akan diagihkan kepada 116,248 orang penerima berdaftar dengan agensi dan jabatan di bawah kementerian tersebut.

Beliau berkata, setiap penerima akan memperoleh bantuan secara one-off berjumlah RM300.

Daripada jumlah penerima itu, seramai 48,756 penerima adalah daripada pekebun kecil getah yang berdaftar di bawah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), sejumlah 32,836 orang petani yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian serta 16,205 pekebun kecil kelapa sawit di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Selain itu, seramai 10,669 orang nelayan di bawah Jabatan Perikanan juga akan menerima bantuan kewangan secara one-off itu. Turut menerima adalah 3,890 orang individu berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), 2,069 orang penternak, 1,160 pekebun kecil koko dan seramai 663 individu dari Korperasi Pembangunan Desa (KPD).

Bagaimanapun, senarai berkenaan belum menyeluruh. Mana-mana individu yang tercicir, permohonan bantuan mereka akan tetap dipertimbangkan dengan syarat mereka mestilah berdaftar dengan mana-mana agensi dan jabatan kerajaan berkaitan.

Jeffrey berkata, dana itu sebahagian daripada bantuan kewangan yang diperuntukkan kerajaan negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

Penerima dalam sektor lain termasuk pemandu teksi, pemandu lori dan penggiat industri pelancongan.

Katanya, dokumentasi semua penerima sedang diproses dan akan diserahkan kepada Jabatan Perbendaharaan Negeri untuk proses pembayaran secara terus ke akaun penerima.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

9896