PM Tinjau Persiapan Misi Bantuan Ke Sabah

Muhyiddin ketika melakukan tinjauan untuk persiapan penghantaran keperluan kritikal Covid-19 ke Sabah di Pangkalan Udara Subang yang dikendalikan oleh TUDM hari ini.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan tinjauan persiapan yang dikendalikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara (PU) Subang, hari ini, untuk penghantaran barangan perubatan kritikal bagi menangani pandemik Covid-19 di Sabah.

Muhyiddin tiba di PU Subang pada 8.30 pagi dan disambut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Muhyiddin diberikan taklimat ringkas oleh Ackbal mengenai penugasan pesawat TUDM dalam misi membantu memerangi wabak Covid-19 sepanjang tahun ini di Sabah dan Sarawak.

“Selesai taklimat, Muhyiddin kemudian dibawa meninjau proses persiapan memasukkan barangan bantuan ke dalam badan pesawat oleh anggota Cabang Pergerakan Udara Subang serta anak kapal yang terbabit dalam misi penghantaran itu.

“Dua pesawat angkut diatur gerak TUDM bagi misi penting hari ini iaitu A400M dari No. 22 Skuadron dan C-130H oleh No. 20 Skuadron.

“Pesawat A400M (RMF 182A) diterbangkan Mejar In’amul Hasan Shuhaimi, Mejar Tengku Syed Muhammad Amin Tengku Syed Abdul Rahman, Kapten Mohd Mazhan Puteh @Abdullah dan dibantu loadmaster Flait Sarjan Tuan Mohd Razali Tuan Abdullah dan Sarjan Udara Mohd Hasyimi Md Hassim,” katanya.

Menurutnya, penghantaran itu membabitkan barangan 15 unit prosedur troli, gaun dan pelindung kasut (80 kotak), kabinet keselamatan biologikal (3), kerusi makmal (3), sel merah (4 kotak) dan platlet darah (3 kotak).

“Selain itu, pesawat A400M itu juga turut membawa 100 kotak sarung tangan getah seberat 649 kilogram (kg) sumbangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Komoditi dan dua kotak tudung, 25 kotak al-Quran, tiga kotak naskhah Doa Darussyifa serta lima kotak pakaian dan peralatan sumbangan Yayasan Amal Malaysia.

“Pesawat turut membawa barangan daripada Kementerian Pertahanan iaitu 44 kotak pelitup muka dan alat perlindungan diri (PPE) serta dua unit mesin ventilator, 25 kotak pelitup muka dan 22 kotak cecair pembasmi kuman sumbangan Sunway Healthcare.

“Jumlah keseluruhan muatan yang dibawa pesawat A400M pada hari ini seberat 15 tan,” katanya.

Kenyataan itu menambah, bagi pesawat angkut kedua iaitu C-130H (RMF-182 B) diterbangkan Kapten AimanMohd Akbar, Kapten Mohammad Amirol Mohd Deran, Kapten Mohd Solihin Azman, Mejar Nik Hasri Nik Leh (Jurutera Penerbangan) dan dibantu oleh tiga ‘loadmaster’ iaitu Pegawai Waran Udara II Jonas Gama, Sarjan Udara Muhamad Anuar Mohd Yusoff dan Flait Sarjan Mohd Shazuwan Mohd Juhan.

“Pesawat berlepas dari PU Subang jam 10.30 pagi ke Kota Kinabalu dan Labuan dan kembali ke semula ke PU Subang.

“Penerbangan keseluruhan mengambil masa sekitar lapan jam membawa barangan kelengkapan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 400 kotak set PPE, 50 kotak pelindung muka, masing-masing 50 kotak coverall dan jumpsuit.

“Jumlah keseluruhan muatan yang dibawa pesawat C-130H pada hari ini seberat lima tan,” katanya.

Katnaya, untuk rekod bermula 22 Mac hingga 27 Oktober lalu, sebanyak 17 penerbangan berjaya dilaksanakan TUDM membabitkan jumlah muatan barangan bantuan seberat 433,886.5 kg.

“Selain itu, sepanjang Oktober ini, sebanyak 471 kotak sampel Covid-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau dibawa menggunakan pesawat TUDM untuk diserahkan kepada KKM di PU Subang bagi dilaksanakan ujian pengesahan di makmal Semenanjung Malaysia.

“TUDM juga turut membawa 68 petugas yang terdiri daripada pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) bagi pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) di Tawau berikutan gelombang ketiga pandemik Covid-19 manakala seramai 151 orang Tim Mobilisasi KKM dihantar ke Tawau dan Kota Kinabalu,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

956