PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini menafikan laporan mendakwa jururawat ditugaskan di Sabah perlu menjalani tempoh kuarantin 1 hingga 2 minggu setibanya di negeri itu.
Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi berkata, petugas kesihatan yang diarah bertugas di Sabah sama ada dari luar atau dalam negeri tetap perlu menjalani ujian RT-PCR, sebelum bertolak ke tempat bertugas dan yang mempunyai keputusan negatif sahaja dibenarkan melapor diri di tempat bertugas sementara, sebagai pasukan bantuan.
“Namun, mereka perlu menjalani kuarantin dan ujian RT-PCR sekembalinya dari bertugas di luar daerah. Bagi pasukan bantuan yang ditugaskan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), mereka akan diberi orientasi selama 1 hari berkaitan struktur dan organisasi tempat kerja serta kawalan infeksi di tempat kerja.
“Mereka kemudian akan mula bertugas pada keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dalam laporan memetik aduan seorang petugas kesihatan di Sabah mendakwa, kekurangan tenaga kerja merupakan masalah paling besar dihadapi hospital negeri itu dalam menangani wabak Covid-19.
Doktor perubatan yang tidak mahu dinamakan itu mendakwa, walaupun sejumlah jururawat dari Semenanjung dikerah ke Sabah, namun ia masih belum dapat menyelesaikan masalah itu.
Selain mendakwa petugas kesihatan yang tiba di Sabah perlu dikuarantin selama 1 atau 2 minggu, doktor berkenaan turut mendakwa kebanyakan petugas kesihatan yang dihantar masih “junior” dan tiada pengalaman.
Pada masa sama, memandangkan terdapat keperluan mendesak, HQE sudah menambah bilangan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan sejumlah 31 jurulatih terlatih yang mempunyai latihan rawatan rapi sudah ditugaskan di unit tersebut.
“Tidak ada jururawat terlatih junior yang ditempatkan di unit rawatan rapi HQE,” katanya.
Menjawab dakwaan tekanan mental dihadapi kakitangan kesihatan, Christina berkata sepanjang tempoh siasatan dijalankan, semua pegawai perubatan dan pakar perubatan di Unit Anaesthesia HQE bekerja dalam suasana kondusif dan berupaya memikul beban kerja.
“Ketua jabatan sudah mengingatkan warga kerja jabatan untuk saling menjaga sesama mereka dan memaklumkan kepada ketua jabatan atau kaunselor yang ditugaskan untuk jabatan tersebut jika mereka menghadapi masalah kerja membebankan,” katanya.
Beliau berkata, sejak peringkat awal Covid-19, setiap daerah di Sabah sudah menubuhkan pasukan “Mental Health Pyschosocial Support” untuk memberi sokongan mental dan emosi kepada mereka yang terkesan oleh Covid-19, termasuklah petugas kesihatan di lapangan dan hospital.
Christina turut menjawab dakwaan dalam laporan Sabah Today, yang menyatakan pesakit dihantar pulang oleh HQE kerana ketiadaan katil di hospital tersebut.
“Siasatan terhadap kejadian ini dan punca kematian masih dijalankan pihak hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah Putatan. Kini, terdapat 2 hospital yang merawat pesakit Covid-19 di Kota Kinabalu iaitu HQE, dengan 456 katil dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dengan 117 katil,” katanya.
Katanya, HQE sendiri sudah melipat gandakan usaha menangani keperluan mendesak akibat peningkatan kes Covid-19 setiap hari. Malah, bilangan katil untuk penjagaan rawatan rapi daripada 16 katil sedia ada sudah ditambah kepada 40.
“KKM sudah menggerakkan sejumlah 288 jururawat terlatih bertugas di HQE dan daripada jumlah ini, seramai 88 orang mempunyai ‘post basic’ rawatan rapi. HQE juga sudah menyusun semula fungsi wad di hospital tersebut untuk menambah bilangan katil bagi merawat pesakit Covid-19,” katanya.
Katanya, sehingga semalam masih terdapat 76 katil kosong di HQE dan 71 katil kosong di semua pusat kuarantin dan rawatan koronavirus (Covid-19) untuk kes berisiko rendah (PKRC).
“Beberapa PKRC tambahan di Kota Kinabalu dikenalpasti dan sedang dalam proses penyediaan untuk beroperasi. JKNS akan terus berusaha memastikan perkhidmatan hospital dapat menampung keperluan tambahan mendesak akibat peningkatan kes Covid-19,” katanya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost