COVID-19: Sabah Umum Peruntukan Tambahan RM160 Juta

Datuk Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meluluskan sebanyak RM160 juta Bantuan Prihatin COVID-19 bagi membantu meringankan beban rakyat semua golongan yang terkesan disebabkan pandemik terbabit.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, dalam satu kenyataan hari ini berkata bantuan itu adalah tambahan kepada peruntukan segera sebanyak RM50 juta yang telah diluluskan oleh pihaknya pada awal bulan ini.

“Peruntukan yang akan disalurkan itu akan melalui pelbagai kementerian dalam bentuk bantuan wang di mana ia bakal memberi manfaat kepada golongan terjejas dari pelbagai sektor pertanian, pelancongan (pemandu pelancong, porter, penyelam) dan pengangkutan (teksi, bas, lori) selain golongan seperti penjaja, anak yatim dan ibu tunggal,” katanya.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri hari ini.

Selain itu, beliau berkata peruntukan terbabit juga akan turut diberikan kepada golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

“Dari peruntukan terbabit, sebanyak RM1 juta akan disalurkan kepada semua universiti untuk membantu golongan pelajar IPT yang terjejas disebabkan COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Sabah bagi membincangkan kaedah memperkasa ekonomi negeri ini.

Katanya, keahlian anggota majlis yang bakal diumumkan itu membabitkan pihak industri, peniaga, persatuan badan bukan kerajaan (NGO) dan juga ahli akademik.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *