COVID-19: Dr Noor Hisham Akui Tertekan, Tak Boleh Tidur

DR NOOR HISHAM: Kadang-kadang malam pun tidak boleh tidur kerana kami perlu fikirkan pelbagai aktiviti dan bagaimana kami boleh selesaikan masalah ini.

PUTRAJAYA : Perang menentang musuh halimunan bernama COVID-19 yang berlanjutan sejak awal tahun ini nyata memberikan kesan dan tekanan bukan sahaja kepada petugas barisan hadapan, malah kepada warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hariannya pada Rabu mendedahkan bahawa beliau turut mengalami kelesuan serta tekanan mental dan fizikal yang amat tinggi.

“Ini adalah kerana kami berperang berterusan tanpa henti untuk 10 bulan tanpa cuti. Setiap hari, kami ada mesyuarat dan ada tindakan (susulan).

“Setiap lapisan warga kerja KKM membuat kerja dengan sebaik mungkin dan mungkin ada yang terkesan iaitu tekanan yang tinggi.

“Termasuk KP (Ketua Pengarah) Kesihatan juga (berdepan) tekanan yang amat tinggi,” katanya.

Dr Noor Hisham mengakui bahawa kelesuan itu turut menyebabkan beliau mengalami kesukaran untuk tidur.

“Kadang-kadang malam pun tidak boleh tidur kerana kami perlu fikirkan pelbagai aktiviti dan bagaimana kami boleh selesaikan masalah ini.

“Walaupun diberikan masa untuk berehat, kami tidak boleh berehat.

“Tengah malam pun bangun pada jam 3 atau 4 pagi dan masih memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata rata-rata kakitangan KKM masih dapat bertahan dan kekal bersemangat untuk memastikan COVID-19 lenyap daripada bumi Malaysia ini. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *