Pemandu Lori Sawit Maut Terbabas Ke Dalam Gaung

Lori yang dipandu oleh mangsa terbalik selepas terbabas ke dalam gaung di Kilometer 115 Jalan Nangoh-Paitan.

BELURAN: Seorang pemandu lori sawit maut selepas terbabas ke dalam gaung di Kilometer 115 kawasan Bukit Ular Jalan Nangoh-Paitan, petang Selasa.

Mangsa, Johnaidi bin Pongotan, 36, terbunuh selepas lori yang dipandu gagal dikawal telah terjunam ke dalam gaung dipercayai akibat kegagalan brek berfungsi ketika melalui jalan selekoh dalam kejadian lebih kurang jam 6.40 petang.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata pemandu treler yang membawa muatan buah kelapa sawit sedang dalam perjalanan daripada Estate Oshpalm Pitas menuju ke Kilang Sawit Sungai Ruku Kinabatangan.

“Siasatan awal mendapati sistem brek lori treler tidak berfungsi dengan baik di kawasan jalan yang berbukit dan merupakan kawasan banyak selekoh.

“Treler muatan buah kelapa sawit tersebut telah terjunam ke kawasan gaung tepi jalan dan menyebabkan pemandunya cedera parah pada bahagian kepala dan badan menyebabkan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Kasim berkata mayat mangsa telah dihantar oleh pihak polis ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.

Beliau berkata pihaknya menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *