Hajiji Angkat Sumpah Sebagai Adun

Hajiji mengangkat sumpah sebagai Adun di hadapan Yang di-Pertua DUN Sabah, Kadzim Yahya di DUN Sabah, hari ini. (Gambar JKM Sabah)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, antara 4 pemimpin lain yang mengangkat sumpah Adun di hadapan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Kadzim Yahya, hari ini.

Turut mengangkat sumpah naib presiden Warisan yang juga Adun Sulabayan, Jaujan Sambakong, serta 2 Adun lantikan iaitu Presiden SAPP, Yong Teck Lee, serta Timbalan Ketua Wanita PPBM Sabah, Amisah Yassin.

Turut menghadiri majlis angkat sumpah itu Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong dan Setiausaha DUN Shafaruddin Halide.

Terdahulu, Hajiji yang juga ketua PPBM Sabah tidak menghadiri majlis angkat sumpah yang berlangsung pada 9 Okt kerana menjalani kuarantin dan disahkan positif Covid-19 pada hari sama.

Beliau bersama isterinya, Julia Salag, kemudian dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar wad Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada 18 Okt lalu.

Pada 9 Okt, seramai 74 Adun daripada kerajaan dan pembangkang termasuk 4 Adun lantikan mengangkat sumpah.

Pada hari berkenaan, selain Hajiji dan Jaujan, seorang lagi Adun yang menang pada pilihan raya negeri lalu iaitu Manis Muka Dara (Warisan-Bugaya) juga tidak hadir.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2260