50 Lagi Kru Kapal Daripada Kluster Sauh Jalani Kuarantin

Kru aset LNG terapung dalam kategori PUI dan PUS Kluster Sauh, tiba di jeti Sabah Port sebelum dibawa menaiki bas ke pusat kuarantin. – NSTP/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kira-kira 50 kru kapal yang bekerja di salah sebuah aset gas asli cecair (LNG) terapung milik syarikat multinasional tiba di jeti Sabah Port, di sini, hari ini.

Semua kru terbabit adalah pesakit dalam pemantauan (PUS) dan pesakit bawah siasatan (PUI) COVID-19 daripada Kluster Sauh.

Mereka yang menaiki bot Express Alpha lengkap memakai set peralatan perlindungan diri (PPE) dan tiba di sekitar jeti kira-kira 11.35 pagi tadi.

Semua kru terbabit kemudian dibawa menaiki dua bas ekspres menuju salah satu pusat kuarantin.

Difahamkan semua kru kapal itu diarahkan syarikat terbabit untuk turun ke daratan selepas mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Terdahulu, 15 kru kapal daripada dua aset LNG terapung berkenaan disahkan positif COVID-19 dan diterbangkan menggunakan helikopter untuk mendapatkan rawatan pada 20 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pada Khamis lalu mengesahkan Kluster Sauh dikesan di Sabah dan Miri di Sarawak.

Dalam pada itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebanyak 31 kes daripada Kluster Sauh direkodkan pada hari sama. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3901