404 Didenda Ingkar PKPB Di Kota Kinabalu

Habibi Majinji bercakap kepada media selepas melawat Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan Jabatan Penjara di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Polis di sini mengeluarkan 404 kompaun atas pelbagai kesalahan mengingkari perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Sabah sejak 13 Okt lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata, antara kesalahan itu termasuk tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Katanya, semua kesalahan itu dikesan dalam operasi pemantauan pasukan khas yang terdiri daripada seorang pegawai dan 5 anggota di semua 9 kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

“Sebagai contoh, bagi Balai Polis Menggatal, kita menubuhkan 2 pasukan untuk memantau lokasi sensitif bagi memastikan tiada penularan wabak dan wujudnya kluster baru.

“Seperti dilaporkan semalam, jumlah positif di Kota Kinabalu mencecah 557 orang dan 434 daripadanya datang dari kluster Penjara Kepayan,” katanya selepas meninjau kuarters kakitangan Penjara Kepayan di sini, hari ini.

Habibi berkata, polis akan bekerjasama dengan Jabatan Penjara untuk memperketatkan kawalan di sekitar Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan.

Katanya, seramai 1,153 banduan dan 12 kakitangan penjara disahkan positif Covid-19, sejak perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan di Kampung Matambai pada 20 Okt lalu.

“Susulan itu, 2 lokasi itu dipantau dengan ketat bagi memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya. Ketika ini, hanya kakitangan bertugas yang dibenarkan keluar masuk.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *