Sabah Perlu Henti Pinjaman RM300 Juta Kepada AirAsia, Kata Presiden SAPP

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah digesa menghentikan pelan pinjaman RM300 juta yang diluluskan Sabah Development Bank Bhd (SDB) kepada AirAsia.

Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata, bank milik kerajaan negeri itu diberi mandat untuk menyediakan pembiayaan pembangunan untuk projek di Sabah dan bukan untuk pelan berisiko.

Katanya, ia bukan manfaat terbaik bagi kerajaan Sabah dan SDB menanggung risiko dengan memperuntukkan dana yang terhad untuk memastikan AirAsia bertahan.

“Kalau sebarang bantuan diperlukan untuk memastikan AirAsia dan Malaysia Airlines bertahan, ia terletak kepada kerajaan persekutuan untuk menggalas tugas itu,” katanya.

“Berbanding dengan hutang RM66 bilion yang ditanggung AirAsia, bagaimana dana SDB yang sedikit, iaitu RM300 juta, akan membantu memastikan AirAsia bertahan?

“RM300 juta hanya 4.5% hutang yang ditanggung AirAsia. Sebaliknya, RM300 juta dapat membantu memulihkan semula ekonomi Sabah dengan meminjamkannya kepada sektor perumahan, pertanian atau pembinaan di Sabah,” katanya.

“Industri penerbangan bukan sesuatu yang SDB harus tanggung risiko semasa pandemik Covid-19. Mana-mana bank dan ahli perniagaan tahu krisis apa yang dihadapi industri penerbangan. Seperti dilaporkan, AirAsia disaman oleh Malaysia Airports Holdings RM78.16 juta,” katanya.

Yong turut mempersoalkan jika pinjaman RM300 juta itu melebihi had peminjam tunggal menurut standard perbankan.

“Oleh kerajaan baharu mengambil alih kuasa 3 minggu lalu, ia boleh mengatakan yang pinjaman itu diluluskan pada zaman kerajaan sebelum ini. SDB harus dipertanggungjawabkan terhadap kelulusan pinjaman itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan media tempatan dan antarabangsa, SDB meluluskan pinjaman RM300 juta kepada AirAsia “untuk memastikan syarikat penerbangan itu dapat bertahan semasa pandemik koronavirus”. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *