AirAsia Sahkan Dapat Pinjaman Sabah Development Bank

AirAsia Group Bhd

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd mengesahkan ia memperoleh pinjaman sebanyak RM300 juta daripada Sabah Development Bank Bhd (SDB) dan bukan daripada mana-mana pembiayaan atau jaminan kerajaan.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata pinjaman berkenaan diperoleh sebagai sebahagian daripada langkah pengumpulan dana kumpulan dan usahanya untuk meneroka perniagaan digital.

AirAsia berkata pinjaman itu bertujuan terutamanya untuk meningkatkan kehadiran logistik AirAsia di Sabah yang dalam proses itu akan mewujudkan lebih 100,000 pekerjaan baharu.

Dana itu akan digunakan untuk projek pembangunan tertentu, termasuk menubuhkan rantaian bekalan makanan digital OurFarm (platform e-dagang pertaniannya) dan kemudahan rantaian sejuk beku di Sabah (peruntukan RM170 juta) selain membiayai sebahagian daripada projek untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebagai hab antarabangsa bagi AirAsia Bhd (RM110 juta).

Sejumlah RM10 juta akan digunakan bagi meningkatkan platform e-dagang dan kebolehpasaran produk dari Sabah dan RM10 juta lagi untuk mempromosikan lagi destinasi pelancongan Sabah di airasia.com, aplikasi super digital AirAsia,” kata syarikat itu.-BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8848