Empat Lagi Kakitangan Bank Muamalat Cawangan Kota Kinabalu Positif Covid-19

KOIA KINABALU: Bank Muamalat Malaysia Bhd telah mengesahkan empat lagi pekerjanya di cawangan Kota Kinabalu telah diuji positif COVID-19, menjadikan jumlah jangkitan di cawangan itu kepada lima orang.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata pekerja yang dijangkiti di cawangan Aeropod Commercial Square sedang dirawat di sebuah hospital kerajaan.

Cawangan itu ditutup minggu lepas bagi membolehkan prosedur sanitasi dan pembersihan dijalankan selepas seorang pekerja disahkan positif COVID-19.

“Semua rakan sekerja yang telah berhubung secara langsung dengan pekerja terlibat telah diminta untuk kuarantin diri di rumah selama 14 hari, sehingga diberi pelepasan perubatan yang sewajarnya.

“Pengesanan kontak juga sedang dijalankan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan,” menurut bank itu.

Waktu perniagaan bagi cawangan terpilih telah diubah untuk beroperasi dari pukul 9.15 pagi hingga 3 petang sahaja.

Ini bagi mengurangkan kemungkinan risiko kesihatan disebabkan oleh peningkatan jumlah kes COVID-19.

“Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa perniagaan terus beroperasi seperti biasa, dengan gangguan yang minimum di samping menjaga keselamatan sebagai keutamaan,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh lawati www.muamalat.com.my atau hubungi 03-2600 5500.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1293