PKPD Dua Kampung Di Labuan

KUALA LUMPUR: Dua kampung di Wilayah Persekutuan Labuan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Kampung Saguking dan Kampung Sebor Baru bermula esok sehingga 3 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu membabitkan 8,062 penduduk.

Anggota PDRM memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika melakukan pemantauan di Kampung Saguking. Foto BERNAMA

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bersetuju mengenakan PKPD di dua kampung di Labuan.

“Ini berikutan peningkatan kes Covid-19. Pelaksanaan PKPD bagi membolehkan pergerakan keluar masuk dikawal dan memudahkan ujian saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, kawalan keselamatan di kampung berkenaan juga akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, kebajikan penduduk pula akan dipantau oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

“Penduduk terbabit perlu menjalani kuarantin di rumah (HSO) dan memakai gelang pengawasan kepada kontak rapat dan mereka bergejala yang sudah diambil sampel.

“Pergerakan keluar masuk membabitkan kawasan PKPD tidak dibenarkan kecuali kecemasan. Penduduk yang bekerja juga tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu.

“Semua aktiviti sosial, keagamaan mahupun perhimpunan tidak dibenarkan. Aktiviti ‘barter trade’ juga tidak dibenarkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya memberi sedikit kelonggaran iaitu kedai runcit dan premis makanan dibenarkan operasi dari pagi sehingga 6 petang bagi membolehkan penduduk mendapatkan makanan dan keperluan asas lain. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

839