Peningkatan Kes COVID-19 Di Sabah Disebabkan Sampel Tertunggak – Masidi

Foto NST

KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah kes baharu Covid-19 yang dicatatkan di Sabah adalah disebabkan terdapatnya penambahan sampel tertunggak sebelum ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, selain bercampur dengan sampel tertunggak, peningkatan jumlah kes terbabit adalah hasil saringan lapangan yang diperluaskan di daerah zon merah.

“Peningkatan kes di Sabah adalah disebabkan hasil saringan lapangan yang diperluaskan serta bersasar di kawasan jangkitan di 15 zon merah iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar, Kota Belud, Keningau, Tambunan, Beaufort dan Ranau.

“Di samping itu, peningkatan ini adalah hasil daripada keputusan ujian makmal terhadap tunggakan sampel sebelum ini yang dianggarkan sebanyak 18,000 sampel.

“Daripada jumlah itu, 7,000 sudah diselesaikan dan jumlah sampel yang tertunggak masih di sekitar sebanyak 11,000. Apabila dicampur dengan kes baharu, ini menyebabkan bilangan kes menjadi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas perkembangan harian Covid-19 Sabah bertempat di Wisma Innoprise, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong,

Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara ( MKN ) Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi.

Dalam sidang media terbabit, Masidi yang juga jurucakap rasmi kerajaan negeri mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah turut berkata menjelaskan pengurusan Covid-19 di negeri ini tetap diteruskan walaupun tidak ada portfolio Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dalam kerajaan sebelum ini.

Katanya, perkara yang berhubung hal kesihatan kecuali Covid-19 diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

“Pengurusan Covid-19 tidak ada terlalu banyak perbezaan dari kerajaan sebelum ini kecuali tiadanya Menteri Kesihatan negeri.

“Fungsi Menteri Kesihatan dimasukkan dalam Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang diterajui Shahelmey.

“Malah, sebelum ini, kita ada Sabah Command Centre tapi namanya telah ditukar menjadi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah tetapi ia masih dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan timbalannya adalah pengarah JKNS.

“Pembuat dasar dan juga keputusan yang tertinggi ialah MKN. Setiap hari kita bermesyuarat, pengarah akan bagi taklimat dan saya selaku wakil rasmi duduk dalam jawatankuasa itu terbabit sama dalam perbincangan serta mesyuarat persidangan video bersama MKN untuk semua perkembangan,” katanya.

Masidi juga turut menjelaskan mengenai keputusan kerajaan negeri untuk membenarkan premis perniagaan beroperasi di Sabah di mana terdapat keseimbangan antara mengelak penularan wabak Covid-19 dan juga kelangsungan ekonomi.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4280