SANDAKAN: Beberapa sektor ekonomi dan industri di daerah ini mulai dibuka kembali selepas dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa di negeri ini.
Kebenaran yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu adalah bagi tempoh 13 Oktober hingga 26 Oktober.
Bagaimanapun, tinjauan Utusan Borneo di Bandar Sandakan dan beberapa bandar satelit sekitar daerah ini mendapati keadaan masih lengang meskipun sudah tiga hari kebenaran beroperasi itu dikeluarkan.
Tinjauan juga mendapati hanya segelintir kecil premis bukan perlu (essential) yang mulai berniaga kembali seperti kedai optik, kedai menjual baju kanak-kanak dan kedai menjual peralatan menjahit.
Salah seorang pengusaha kedai gunting, Rahman Binjo berkata, kebanyakan peniaga kini keliru sama ada mereka boleh atau belum boleh berniaga berikutan SOP dikeluarkan pihak berkuasa kerap bertukar-tukar.
“Saya ada terima notis SOP dari pihak berkuasa tempatan bertarikh 9 Oktober yang menyatakan hanya beberapa sektor perniagaan sahaja yang dibenarkan beroperasi. Ia termasuk kedai, restoran dan gerai menjual makanan, kedai runcit dan kedai serbaneka, pasar umum, farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan.
“Berikutan kedai gunting tidak tersenarai, saya tutup kedai dan kekal berada di rumah. Beberapa hari selepas itu, saya nampak lagi SOP baharu dikeluarkan MKN yang menyatakan semua aktiviti sektor ekonomi dan industri dibenarkan beroperasi.
“Tidak sampai satu minggu, SOP telah bertukar dan tindakan ini sebenarnya telah membuatkan para peniaga keliru. Kita bimbang sekiranya kedai dibuka, kita akan diarah tutup ataupun dikenakan tindakan kerana tidak mengikut arahan,” katanya.
Sementara itu, rata-rata orang awam yang ditemui berharap pihak berwajib dapat memberi satu kata putus yang menyeluruh sebelum mengeluarkan sesuatu arahan, peraturan ataupun SOP.
Bagi Omil Lain, kekeliruan itu bukan sahaja membebankan peniaga dan pengguna, malah golongan pekerja turut terkesan kerana ada di antara mereka yang terjejas dari segi sumber pendapatan ekoran tidak dapat turun bekerja ataupun kehilangan pekerjaan. – Utusan Borneo
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost