Orang Ramai Di Lahad Datu Dinasihat Tidak Keluar Rumah

Kawalan di laluan utama keluar masuk di Taman Khazanah Indah dilengkapi kawalan pagar berduri.

LAHAD DATU: Polis di sini menasihatkan orang ramai tidak keluar rumah kecuali untuk tujuan kecemasan dan mendapatkan keperluan mendesak.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata jumlah kes COVID-19 di daerah ini yang mencecah 486 kes pada Selasa memungkin wabak itu boleh berada di persekitaran berhampiran dan menjangkiti orang ramai.

 Penduduk yang menjalani ujian swab kali kedua.
UJIAN SWAB: Penduduk yang menjalani ujian swab kali kedua.

“Pada 13 Oktober sebanyak 19 lokaliti taburan kes positif COVID-19 dikesan di daerah ini dan saya menyeru orang ramai agar tidak keluar rumah kecuali kecemasan kerana wabak ini ada di mana-mana dan tidak mustahil berada berhampiran dan menjangkiti anda,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, Kampung (Kg) Puyut dan Taman Khazanah Indah mencatat dua kes manakala masing-masing satu kes di Pulau Sakar, Kg Panji, Kg Tabanak, Kuarters Hospital, Kg Bukit Belacon, Taman CL, Kg Teck Guan, Kg Batu Dua Jalan Segama, Kg Unta, PPR Mutiara Kasih, Kg Telisai, Kg Segangan, Taman Warisan Tiga, Kg Wawasan, Felda Kembara Sakti, Felda Sahabat Tujuh, Felda Sahabat Dua.

Dari tinjauan Utusan Borneo, dua kawasan iaitu di PPR Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di sini yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak kelmarin telah dikawal rapi pasukan keselamatan.

Petugas juga telah mengagihkan bakul makanan dan penduduk di kedua-dua lokasi itu telah menjalani saringan ujian swab kali kedua pada Selasa dan Rabu.

Dua petugas media tempatan Azmi Lim dan Efa Rizan yang telibat di kawasan itu ketika dihubungi berkata mereka dalam keadaan baik dan bekerja dari rumah.

“Kami dalam keadaan baik dan mematuhi arahan PKPD serta tetap meneruskan tanggungjawab dengan melakukan kerja dari rumah sahaja,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2531