Lebih 12,000 PATI Ditahan Ceroboh Sabah, Paling Banyak Filipina

PETALING JAYA: Seramai 12,877 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan di Sabah sahaja, dalam Ops Benteng yang berjalan dari Januari sehingga 13 Okt.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini melaporkan kebanyakan mereka yang ditahan adalah warga Filipina.

Daripada jumlah tersebut, seramai 7,673 PATI dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Masih terdapat 5,204 sedang berada di pusat tahanan. Dari jumlah itu, 4,456 PATI dari Filipina, 618 PATI dari Indonesia dan lain-lain 130 orang,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, pihak berkuasa menahan 37 lagi PATI serta berjaya merampas 2 kenderaan darat.

Ops Benteng dijayakan oleh 3,493 anggota, 10 kapal, dan 54 bot pemintas.

Berkenenaan pematuhan perintah kawalan pergerakan pula, polis semalam menahan 284 individu atas kesalahan ingkar arahan pencegahan Covid-19.

Kebanyakan pesalah didapati gagal mematuhi keperluan asas, iaitu tidak memakai pelitup muka (134 orang) dan penjarakan fizikal (68 orang).

“Seramai 278 individu telah dikompaun. Seramai 6 individu pula direman,” katanya, dan menambah mereka yang ditahan kerana aktiviti di pusat hiburan hanya 8 orang.

Sementara itu, Ismail melaporkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang menyiasat 273 kes berita palsu berkait Covid-19, angka setakat 14 Okt.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 136 masih disiasat.

“Manakala 35 kes didakwa di mahkamah, 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan, dan 12 diberikan notis amaran,” katanya.

Sementara itu, kerajaan hari ini menjelaskan SOP bagi PKP (Bersyarat) di mukim Klang terbatal hari ini ekoran penguatkuasaan SOP PKPB bagi seluruh Selangor.

SOP lengkap berkenaan solat berjemaah di masjid bagi negeri yang dikenakan PKPB akan diputuskan dalam masa terdekat. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

16540