Sidang Akhbar Khas Anwar Jam 2 Petang Ini

KUALA LUMPUR – Setelah meninggalkan media tanpa sebarang kenyataan sebaik keluar dari Istana Negara, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan mengadakan sidang akhbar khas bagi membuat pengumuman penting berkaitan pertemuan beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan perkara itu dalam satu makluman kepada media sebentar tadi.

Sidang akhbar itu akan berlangsung di Clarke 1, Level 6, Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Terdahulu Ahli Parlimen Port Dickson itu tiba di Istana Negara melalui pintu dua kira-kira jam 10.25 pagi dan sebelum kenderaan yang membawa beliau keluar kira-kira sejam kemudian.

Beliau hanya melambai dan tersenyum kepada media yang berpusu-pusu cuba mendapatkan kenyataan beliau.

Pertemuan Anwar menghadap baginda Yang di Pertuan Agong adalah bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya bagi membentuk kerajaan seperti dinyatakan dalam sidang akhbarnya pada 23 September lalu. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1022