Covid-19: Kes Aktif Di Tuaran Meningkat Kepada 254 Kes

KOTA KINABALU: Hanya dalam tempoh seminggu kes aktif yang dilaporkan di Tuaran meningkat daripada 32 kes kepada 254 kes, setakat samalam.

Pada 5 Oktober lalu, Tuaran hanya mencatatkan 32 kes aktif dan jumlah itu meningkat kepada 254 kes aktif yang masih dirawat di hospital semalam.

Satu kluster dilaporkan di Tuaran, iaitu kluster Tujuh Serangkai yang mencatatkan 200 kes setakat ini dan bilangan kumulatif kes di Tuaran adalah sebanyak 292 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, setakat semalam, 17 daerah di Sabah mencatatkan tambahan kes baharu dengan Semporna mencatatkan tambahan 98 kes baharu dan bilangan kes aktif di Semporna meningkat kepada 786 kes.

Manakala, bilangan kumulatif kes di Semporna sekatat ini adalah sebanyak 1,039 kes.

Turut mencatatkan kes positif baharu tertinggi semalam adalah Kota Kinabalu (54), Sandakan (35), Tuaran (29), Papar (16), Putatan (12) dan Lahad Datu (11).

Daerah lain yang turut mencatatkan tambahan kes adalah Penampang (8); Keningau (7); Tawau (5); Kunak (5); Kinabatangan (4) dan Sipitang (3). Manakala, daerah Beluran, Kota Marudu, Kudat dan Tenom mencatatkan satu kes positif baharu.

Semalam, 291 kes baharu dilaporkan di Sabah dengan dua kes kematian masing-masing satu di Tuaran dan Tawau.

Dengan itu, bilangan kumulatif kes di Sabah meningkat kepada 4,621 kes dengan 2,688 kes aktif. Manakala, kes pulih pula adalah sebanyak 1,898 kes dan bilangan kematian di Sabah meningkat kepada 35 kes. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5454