COVID-19: Penumpang AirAsia KL-Labuan Diminta Buat Saringan

LABUAN: Seramai 95 penumpang pesawat AirAsia AK5172 Kuala Lumpur-Labuan pada 6 Oktober lalu diminta menjalani saringan COVID-19 selepas seorang penumpang diuji positif jangkitan virus itu, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari, berkata tidak ada seorang pun penumpang penerbangan jam 7.20 pagi itu yang tidak perlu menjalani ujian saringan.

Dr Ismuni turut menggesa semua tetamu sebuah majlis perkahwinan di Dewan Konvensyen Financial Park Labuan (FPL) pada 3 Oktober lalu yang masih belum menjalani saringan supaya berbuat demikian kerana seorang daripada jemputan itu diuji positif jangkitan virus itu.

Lebih 200 orang yang menghadiri majlis perkahwinan itu menjalani ujian di Klinik Kesihatan Membedai tetapi masih belum memperoleh keputusan ujian berkenaan.

Labuan kini mempunyai dua kluster iaitu Bah Bangat (bermula 8 Oktober) dengan sembilan pesakit termasuk seorang pelajar sekolah menengah serta Bah Bundle dengan lima pesakit masih dipantau di pusat pengasingan Hospital Labuan.

Dr Ismuni berkata sebanyak 13,462 sampel diambil setakat Isnin lalu daripada orang ramai yang pulang dari Sabah sejak 26 September dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,680 keputusan saringan dikeluarkan, manakala 3,776 lagi masih menunggu keputusan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *